DESAKAN untuk pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berundur sudah mula kedengaran terutamanya selepas Skuad Penyu tersingkir daripada Piala FA.
Penyingkiran itu berlaku selepas Terengganu tewas di separuh akhir kepada Selangor FC. Lebih perit, kekalahan itu datang selepas mendahului pada aksi pertama.
Terlepas satu jalan untuk ke Asia pada musim depan, timbul suara untuk Steinbruckner berundur dan wajah baharu mengetuai Terengganu.
BACA LAGI: Masa sudah tamat untuk Tomi, Terengganu boleh lamar Bojan Hodak sebagai pengganti
BACA LAGI: Beri 3 lagi peluang atau kembalikan Tomislav ke posisi asal — Legend Peteh
Satu lagi jalan yang tinggal untuk Terengganu ke Asia adalah dengan mengisi tempat dua teratas Liga Super. Walaupun kini menduduki tempat ketiga, namun ia adalah sukar untuk dicapai dek saingan ditonjolkan Selangor, Sabah FC dan Kuching City FC.
Pendapat untuk Steinbruckner berhenti ini adalah pelbagai, ada yang mahukan dia pergi, tak kurang juga yang ingin pengendali itu kekal.
Tetapi, sekiranya Steinbruckner pergi, Terengganu mungkin boleh mempertimbang beberapa nama untuk menggantikannya. Syaratnya adalah satu-satu nama itu tahu bagaimana untuk membawa pulang piala.
Sebelum ini, terdapat cadangan untuk membawa masuk Bojan Hodak. Tetapi, bagaimana sekiranya Terengganu ingin mendapatkan bakat tempatan?
Cheng Hoe kini tidak bersama mana-mana kelab selepas meninggalkan Police Tero.
Salah satu nama yang mereka boleh pertimbang adalah bekas pengendali skuad kebangsaan iaitu Tan Cheng Hoe.
Cheng Hoe yang pernah bersama Kedah Darul Aman FC dan Selangor kini tidak melatih mana-mana kelab selepas kontraknya bersama Police Tero tamat.
Satu lagi nama yang boleh dipertimbangkan adalah legenda Terengganu sendiri iaitu Hairuddin Omar. Buat masa kini, Hairuddin merupakan pengendali skuad Piala MFL Terengganu.
Musim lalu, Hairuddin membimbing Terengganu memenangi Piala MFL dan dia dilihat meneruskan usaha untuk membangunkan bakat muda di kelab tersebut.
Dilihat sebagai seseorang yang memahami luar dalam mengenai bola sepak Terengganu serta pernah membawa pulang piala walaupun di peringkat bawah umur, Hairuddin boleh diberikan mandat untuk mengendalikan skuad Penyu.
Hairuddin Omar memenangi Piala MFL bersama Terengganu.
Cubaan berani
Terengganu tidak memilih menggunakan Cheng Hoe atau Hairuddin, satu nama yang boleh dipertimbangkan adalah pembantu Steinbruckner iaitu Badrul Afzan.
Badrul juga sudah bersama barisan kejurulatih Terengganu untuk tempoh yang lama dan boleh diberikan ruang untuk membuktikan kebolehannya.
Dia mungkin kurang pengalaman dalam hal membawa pulang piala, tetapi Badrul mempunyai pengetahuan yang baik mengenai skuad semasa Terengganu yang dibarisi pemain seperti Safawi Rasid, Marin Pilj dan Ismaheel Akinade.
Jika diberikan tugas, ia mungkin cabaran hebat untuk Badrul tetapi demi merealisasikan impian penyokong mara ke Asia, dia harus mengharunginya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram