Serendah juara keseluruhan MSSD Hulu Selangor 2024


  • Podium
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Kejohanan selama lima hari bermula 12 hingga 16 Ogos itu menyaksikan sebanyak 46 rekod MSSD Hulu Selangor dipecahkan.

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Serendah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Serendah, masing-masing membolot gelaran juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan-sukan Peringkat Daerah (MSSD) Hulu Selangor 2024.

Ini selepas kedua-dua sekolah itu mencatatkan pencapaian cemerlang dengan memecah beberapa rekod dalam kejohanan kali ke-52 itu yang berlangsung di Stadium UPSI, Tanjung Malim, Perak.

Kejohanan selama lima hari bermula 12 Ogos hingga 16 Ogos itu menyaksikan sebanyak 46 rekod MSSD Hulu Selangor dipecahkan dengan Sekolah Sukan Negeri (SSN) atau juga dikenali SMK Seksyen 11 mendominasi senarai menerusi 15 acara.

BACA LAGI: Atlet Hulu Selangor pecah 24 rekod MSSD termasuk 2 catatan usia 14 tahun

BACA LAGI: [VIDEO] Pengadil dipukul pemain MSSD: KFA tunggu laporan penuh JPN Kedah

photo_6195094389081096947_x

Kejohanan kali ke-52 itu berlangsung di Stadium UPSI, Tanjung Malim, Perak.

Pencapaian tersebut juga memberi momentum terbaik buat kesemua atlet yang bakal mewakili Hulu Selangor di peringkat negeri dalam Kejohanan Olahraga MSS Selangor yang akan berlangsung pada 2 hingga 6 September depan.

Selain juara keseluruhan, SMK Serendah turut merangkul anugerah Olahragawan Kategori L1 (Lelaki Menengah Atas) menerusi wakilnya, Muhammad Faiz Ahmad Zamani yang membolot tiga emas.

Muhammad Faiz memenangi acara 200 meter (m) dengan catatan masa 24.06 saat (s), acara 110m lari berpagar dengan masa 14.40s (rekod baharu) dan lompat kijang menerusi keputusan 12.14m.

SK Serendah pula memperlihatkan dua wakilnya, Ameer Afif Mohd Arif dan Asy-Syifa Firyal Azree, masing-masing meraih gelaran Olahragawan Kategori L4 (Tahap Dua) dan Olahragawati Kategori P5.

Dalam kejohanan kali ini, Ameer mencatat rekod baharu bagi acara 200m dengan masa 25.78s dan meraih emas bagi acara 100m.

Lebih 1,000 atlet bertanding dalam Olahraga MSSD Hulu Selangor 2024 merangkumi 17 buah sekolah menengah dan 51 sekolah rendah.

Berikut adalah senarai penuh Kejohanan Olahraga MSSD Hulu Selangor 2024:

Keseluruhan Sekolah Menengah: SMK SERENDAH

Keseluruhan Sekolah Rendah: SK SERENDAH

Olahragawan Kategori L5: MUHAMMAD FARISH NAWFAL MOHD FAIRUL (SMK Ampang Pecah: 1 emas))

Olahragawan Kategori L4: AMEER AFIF MOHD ARIF (SK Serendah: 2 emas)

Olahragawan Kategori L3: KAMARUL DANIEL AZUDIN (SMK Seksyen 11: 3 emas)

Olahragawan Kategori L2: NIK MUHAMMAD AFIQ HAQIEM NIK SUZAIRI (SMK Seksyen 11: 2 emas)

Olahragawan Kategori L1: MUHAMMAD FAIZ AHMAD ZAMANI (SMK Serendah: 3 emas)

Olahragawati Kategori P5: ASY-SYIFA FIRYAL AZREE (SK Serendah: 1 emas)

Olahragawati Kategori P4: NAJWA ADLINA ZURAIMI (SK Bukit Beruntung 2: 2 emas)

Olahragawati Kategori P3: NUR ARISSA QASEH MOHD NOOR HAFISZAL (SMK Seksyen 11: 3 emas)

Olahragawati Kategori P2: KRITIKAH SURESH (SMK Dato Haji Kamruddin: 3 emas)

Olahragawati Kategori P1: NUR FATIHAH FARHANA MOHD FIRDAUS (SMK Seksyen 11: 3 emas) — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram