SEJAK kecil lagi, umat Islam telah dididik bahawa dunia ini sekadar persinggahannya, dan bukannya tempat perhentian terakhir kerana ia adalah sebahagian perjalanan yang penuh dengan ujian sebelum menempuh alam abadi.
Meskipun sedar dengan hakikat itu, tetapi masih ada yang sering terikat dengan rutin duniawi apabila keluar pada waktu pagi dan pulang malam, sehingga mungkin tidak sempat meluangkan masa untuk beribadah kepada ALLAH.
Hakikatnya, segala sesuatu dalam hidup ditentukan oleh ALLAH, termasuk rezeki kita yang telah tertulis di Arash-NYA.
BACA LAGI: Lafaz talak secara terpaksa belum tentu sah, ketahui penjelasan peguam syarie
Terdapat di kalangan kita terlalu mengejar jawatan dan menggangap ia sebagai tanda kemuliaan sehingga lalai melakukan ibadat. — Gambar hiasan/mampankini
Sebab itu, kita seharusnya yakin bahawa rezeki itu datang dalam pelbagai bentuk dari ALLAH dan bukannya ditentukan menerusi kesibukan di dunia.
Memetik satu video ceramah berkenaan topik Cukuplah Dengan Duniawi oleh penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkata, malangnya ramai dalam kalangan kita yang mengabaikan kewajipan seperti solat Jumaat kerana takut perniagaan mereka terjejas.
"Contohnya, ada yang tidak menunaikan solat Jumaat kerana ingin menjaga perniagaan cendol mereka.
"Hal tersebut menunjukkan keutamaan yang salah dalam kehidupan.
"Rezeki kita telah ditentukan oleh ALLAH, dan setiap orang mempunyai bahagian rezeki yang telah ditetapkan," katanya.
Tegasnya, itu termasuklah rezeki yang sudah ditulis sejak dalam kandungan ibu.
Ahmad Dusuki berkata, ALLAH telah menetapkan apa yang manusia akan perolehi, termasuk berapa banyak rezeki yang akan diterima.
"Islam mengajarkan kita bahawa kemuliaan hidup bukan terletak pada harta benda.
"Sebagai contoh, Qarun (sepupu Nabi Musa AS) adalah seorang yang sangat kaya dengan harta yang melimpah, namun ALLAH mengazabnya dengan menenggelamkannya ke dalam bumi sedalam 70 hasta setiap kali matahari terbit.
"Ini menunjukkan bahawa kekayaan tidak menjamin kemuliaan di sisi ALLAH," jelasnya.
Qarun atau nama sebenarnya Qarun bin Yashar pada asalnya seorang yang miskin tetapi menjadi kaya selepas Nabi Musa mendoakan rezeki yang melimpah ruah buatnya.
Namun atas kekayaan tersebut, Qarun menjadi angkuh dan sombong, sekali gus mengingkari nikmat ALLAH.
Mengambil iktibar kisah tersebut, Ahmad Dusuki berkata, ada dalam kalangan manusia yang masih terlalu mengejar jawatan, yang sering dianggap sebagai tanda kemuliaan.
"Namun, Islam mengajarkan bahawa jawatan hanyalah satu tanggungjawab yang perlu dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH.
"Mereka yang berebut jawatan perlu ingat bahawa tanggungjawab ini adalah amanah yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.
"Jangan terpedaya dengan jawatan yang dianggap mulia kerana kemuliaan di sisi ALLAH tidak bergantung pada kedudukan atau kekayaan, tetapi pada sejauh mana kita menjalankan tanggungjawab dan menjauhi perkara yang haram.
"Seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, jawatan bukanlah satu bentuk kemuliaan, tetapi satu tanggungjawab yang besar yang perlu dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH.
Perkara itu dapat dilihat jelas dalam firman ALLAH dalam (surah Fatir 35:5)
﴿يا أيُها الناسُ إِن وعد اللهِ حق ۖ فلا تغُرنكُمُ الحياةُ الدُنيا ۖ ولا يغُرنكُم بِاللهِ الغرُورُ﴾
Maksudnya: "Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka)."
Perlu diingatkan bahawa umat Islam hendaklah menunaikan kewajipan solat Jumaat. — Gambar hiasan/The Star
Seperti penulisan Pengarah Majlis Hukama' Mulis, Mohamad Razif Mohamad Fuad menerusi bukunya yang bertajuk 59 Mutiara Nabawi, terdapat dua golongan yang keliru dengan duniawi.
Menurut catitan berkenaan, ada satu golongan melihat dunia sebagai satu kenikmatan yang cukup indah dan tenggelam di dalamnya.
Golongan tersebut terpedaya dengan kenikmatan pinjaman yang sementara lalu lalai dengannya.
Manakala, segolongan lagi pula adalah golongan yang terus melupakan dunia dengan harapan mendapatkan ganjaran di akhirat.
Mereka langsung meninggalkan segala urusan dunia sehingga memberi tanggapan yang negatif kepada masyarakat sekitar terhadap agama.
Dalam satu petikan menerusi buku itu, menjelaskan golongan kedua perlu difahamkan bahawa Islam sama sekali tidak menolak dan menganggap dunia sebagai satu kepalsuan yang hakiki.
"Malah, dunia inilah ladang yang berbaloi untuk dilaburkan ke saham akhirat.
"Disebutkan bahawa seorang ulama sufi terkenal, Iman al-Sya'rani mengkritik golongan sufi pada zamannya yang tidak bekerja dan hanya mengharapkan sumbangan dan sedekah masyarakat.
"Walaupun seorang sufi, beliau tidak mengabaikan keperluan bekerja kerana dalam pada masa yang sama beliau juga ialah seorang pedagang.
"Setiap yang dekat kepada ALLAH bukanlah palsu, sedangkan dunia yang tidak dilorongkan untuk mentaati ALLAH adalah palsu," memetik buku tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram