Nilai tebus kontrak cecah RM4.4 juta, Selangor perlu fikir semula dapatkan Yazan Al-Naimat


  • Podium
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Al-Naimat antara watak 'pembunuh' impian Harimau Malaya di pusingan awal Piala Asia 2023 apabila dia menyumbang tiga bantuan gol, yang menyaksikan Jordan menewaskan Malaysia dengan keputusan 4-0. — Instagram/Al-Naimat

MENJELANG jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M), Selangor FC juga tidak kurang hebatnya dalam misi mencari pemain baharu bagi memantapkan lagi pasukan bagi saingan pusingan kedua nanti.

Antara nama besar yang sudah dikaitkan akan menyertai skuad Gergasi Merah ialah penyerang sensasi pasukan kebangsaan Jordan, Yazan Al-Naimat bagi membantu mempertajamkan lagi bahagian serangan mereka.

Desas-desus kehadiran pemain berusia 25 tahun itu ke kem Selangor FC bertambah hangat dalam kalangan penyokong apabila dua rakan sepasukannya di Jordan iaitu Noor Al-Rawabdeh dan Ali Olwan memberi petunjuk di Insta Story.

BACA LAGI: 'Yazan ganti Yazan,' lupakan baka Eropah-Amerika Latin, import Asia lebih sesuai jadi buruan Selangor FC

BACA LAGI: 'JDT sangat teruk tahun ini', fans Jepun tegur 'gameplay' Harimau Selatan, anggap Bergson terlalu selesa

Kedua-dua pemain Gergasi Merah itu memuat naik gambar Al-Naimat dengan kapsyen 'pemain kegemaran' dan 'yang terbaik' dengan ia dianggap sebagai usikan dari Rawabdeh dan Ali Olwan sebelum pemain berkenaan berhijrah ke Selangor FC.

Bercakap mengenai ketajaman pemain berusia 25 tahun berkenaan, Al-Naimat merekodkan tujuh jaringan dan tujuh bantuan jaringan dalam 20 perlawanan bersama kelab terkininya iaitu Al-Ahli SC.

Namun, demi mendapatkan penyerang berkualiti seperti Al-Naimat, Selangor perlu mengeluarkan wang kira-kira USD $1 juta (RM4.4 juta) untuk menebus kontrak pemain yang membawa Jordan menjadi naib johan Piala Asia Qatar itu.

Al-Naimat juga dikatakan kini berada dalam tekanan apabila namanya sudah tidak disenaraikan dalam skuad musim hadapan dan hanya menunggu Gergasi Merah untuk menandatanganinya.

WhatsApp Image 2024-08-16 at 11.37.03

Al-Naimat merekodkan tujuh jaringan dan tujuh bantuan jaringan untuk Al-Ahli SC. — Instagram/Al-Naimat

Dengan nilai tebus kontrak mencecah jutaan ringgit itu, sesetengah penyokong mula mencadangkan agar Selangor mempertimbangkan semula membawa Al-Naimat dan sebaiknya menggunakan wang untuk mencari pemain lain.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru yang dikeluarkan portal luar negara, Al-Naimat difahamkan tidak lagi terikat dengan mana-mana kelab bermula Ahad lalu.

Ini pastinya akan membuka pintu luas buat Selangor menyambar pemain idaman mereka itu bagi bersaing di Liga Juara-Juara AFC (ACL)2 musim depan tanpa perlu membayar nilai tebus kontrak.

WhatsApp Image 2024-08-16 at 11.36.07

Tangkap layar hantaran mengenai status Al-Naimat.

Namun, tidak dapat dipastikan kesahihan perkara itu dengan laporan media di Jordan tidak melaporkan bahawa pemain berkenaan sudah dilepaskan atau tidak. Bahkan, Al-Ahli juga tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya.

Sekali pun terlepas khidmat Al-Naimat, bahagian serangan Gergasi Merah juga sudah mempunyai wajah baharu apabila sebelum ini pasukan kendalian Nidzam Jamil mendapatkan khidmat pemain dari Jordan, Ali Iyad Ali Olwan.

Pemain berusia 24 tahun tersebut dibawa masuk secara percuma dari pasukan di Qatar, Al-Shamal SC dengan Ali Olwan difahamkan akan memakai jersi bernombor 90 bersama Gergasi Merah pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram