'Kebangkitan pantas Faisal Halim wajar dicontohi, sesuai digelar wira sebenar'


  • Podium
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Faisal Halim memakai topeng khas setiap kali beraksi memandangkan keadaannya masih belum mengizinkan. — Facebook/Selangor FC

PENYERANG sayap Selangor FC, Faisal Halim layak dilabel pejuang sejati apabila mampu bangkit walaupun berdepan trauma selepas menjadi mangsa simbahan asid pada Mei lalu.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pemain skuad kebangsaan itu sudah mempamerkan semangat luar biasa untuk bangkit sambil menjelaskan ia bukanlah satu proses mudah, menurut laporan Stadium Astro.

Malah, menurut bekas pengendali Terengganu itu, kembalinya pemain berusia 26 tahun tersebut di padang selepas tiga bulan daripada mengalami kelecuran teruk seharusnya menjadi contoh kepada pemain lain.

BACA LAGI: Makin lama atas padang, Gergasi Merah perlahan-lahan tunggu Faisal Halim jadi hero sebenar

BACA LAGI: Kembali lepas 97 hari, 10 minit Faisal Halim lagi mantap dari import Jordan Selangor

2044421

Irfan Bakti jelas kagum dengan semangat dan keazaman Faisal Halim. Facebook/Kuching City FC

Sebelum ini, doktor menjangkakan Faisal perlu berehat sekurang-kurangnya enam bulan, namun pemain lincah bertubuh kecil itu mengejutkan ramai apabila sudah mampu beraksi selepas kira-kira tiga bulan daripada tarikh insiden itu.

“Saya melihat semangat luar biasa dimiliki Faisal dan dia merupakan contoh terbaik kecekalan kepada pemain lain. Dia berusaha untuk kembali bangkit walaupun apa yang dia lalui sukar digambarkan.

“Apabila kita tengok dia dapat kembali bermain atas padang, nampak dia sangat puas dan dapat melepaskan rasa geram untuk beraksi. Malah, dari raut wajahnya, seolah-olah tidak nampak langsung dia masih terkesan dengan kejadian itu.

“Namun, dalam masa sama, saya mengharapkan dia supaya berhati-hati dan sentiasa mengikut nasihat doktor dalam memastikan kecederaan yang dihadapinya itu benar-benar pulih,” katanya.

Faisal

Faisal Halim masih boleh tersenyum meskipun keadaannya sedikit menyedihkan. Facebook/Selangor FC

Faisal yang sebelum ini mengalami kelecuran tahap empat akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali, sudah diturunkan skuad Gergasi Merah sebagai pemain gantian dalam dua aksi Liga Super menentang Kelantan Darul Naim dan Sabah.

Dalam pada itu, Irfan Bakti percaya Faisal mampu untuk kembali berada di tahap terbaiknya, namun perlu diberikan masa dan ruang yang cukup.

“Faisal ini antara pemain terbaik dalam industri bola sepak kita. Saya yakin dia akan berusaha untuk berada pada tahap seperti sebelum ini tetapi ia sangat berkait dengan masa.

“Dengan sokongan kuat daripada pasukan dan orang sekelilingnya, sudah tentu dia akan mampu kembali menggegarkan bola sepak negara. Peluang untuknya beraksi seperti diberikan Selangor sekitar 10 minit dalam setiap perlawanan juga banyak membantu,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram