KEJOHANAN Piala Asia 2023 bukan hanya menjadi medan untuk mencari kuasa besar bola sepak di rantau berkenaan, malah ia juga merupakan platform untuk memburu pemain berkualiti.
Walaupun pusingan 16 belum bermula, namun sudah banyak nama-nama pemain menjadi tumpuan dengan rata-rata kelab bola sepak termasuk pasukan dari saingan Liga Malaysia (Liga M) memasang hasrat untuk merekrut mereka.
Mengambil contoh penyokong Selangor FC meluahkan impian mereka untuk melihat kuota import diisi dengan khidmat pemain daripada rantau Asia dan bukannya kewangan yang ada digunakan menggaji import Eropah serta Amerika Latin.
Jika melihat harga pasaran pemain, nilai pemain dari Eropah dan Amerika Latin jauh lebih mahal berbanding bintang Asia yang juga mempunyai kualiti setaraf pemain Argentina serta Brazil.
Berdasarkan khabar angin di media sosial, terdapat tiga pemain tumpuan Piala Asia sedang dikaitkan dengan Selangor FC menjelang musim baharu 2024/2025;
1) Mohanad Ali
Ali mencetak satu jaringan ketika Iraq menewaskan Indonesia 1-3 dalam saingan Kumpulan D Piala Asia 2023. — Instagram/Ali
Penyerang prolifik, Ayron Del Valle difahamkan mendapat tawaran daripada Football Profesional Colombiano (FPC) untuk memperkuatkan serangan pasukan kelab Colombia tersebut.
Status terkini Ayron itu membuatkan banyak info berkaitan calon-calon penggantinya sedang rancak dibicarakan penyokong dengan beberapa nama dikaitkan bakal menyarung jersi Gergasi Merah pada musim baharu ini.
Antara import didambakan untuk memperkuatkan serangan Gergasi Merah ialah penyerang Iraq, Mohanad Ali yang juga tonggak utama kelab Al-Shorta SC.
Pemain berusia 23 tahun berkenaan mempunyai sejarah rekod yang memberangsangkan apabila sudah mencetak 14 gol dan dua hantaran bantuan bersama kelabnya pada musim ini.
2) Umarbek Esmurodov
Pengalaman Umarbek ditagih untuk memperbaiki pertahanan Selangor FC. — Agensi
Pemain merangkap kapten kelab Uzbekitsan, FC Nasaf, Umarbek Esmurodov mula dikaitkan dengan skuad Gergasi Merah menerusi satu hantaran di laman Instagram @legioner_tvfk sehingga berita berkenaan mencuri perhatian ramai penyokong Selangor FC.
Tidak cukup dengan itu, pengalaman Umarbek dalam kariernya dalam saingan di peringkat tertinggi bersama kejohanan seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) menjadikannya sebagai calon ideal untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan skuad Gergasi Merah.
Bek tengah berusia 31 tahun berkenaan juga berhasil membantu negaranya menghuni kedudukan kedua Kumpulan B dengan mengumpul empat mata tanpa sebarang bolos.
Kehadiran Umarbek turut dapat mengisi kehilangan bek tengah import, Yazan Al-Arab yang sebelum ini cemerlang membawa watak sebagai pertahanan kental Gergasi Merah namun terpaksa digugurkan dek masalah disiplin.
3) Yazan Al-Naimat
Al-Naimat mencetak satu jaringan untuk Jordan dalam perlawanan seri 2-2 menentang Korea Selatan pada peringkat Kumpulan E Piala Asia. — Instagram/YazanAl-Naimat
Import Jordan seperti Noor Al-Rawabdeh dan Yazan membuka lagi pintu untuk Gergasi Merah mencari pemain dari negara tersebut dan penyokong kini berharap agar Yazan Al-Naimat dipertimbangkan oleh Selangor bagi membantu serangan mereka.
Berusia 24 tahun, Al-Naimat beraksi untuk Al-Ahli SC di liga utama Qatar dan tidak dinafikan pemain muda tersebut mempunyai rekod baik sebagai penyerang setakat ini.
Ketajaman penyerang sayap itu dapat dibuktikan apabila Al-Naimat merekodkan empat jaringan dan enam bantuan jaringan dalam 10 dalam 11 perlawanan liga untuk Al-Ahli SC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram