TEMASYA Sukan Malaysia (SUKMA) kali ni menyaksikan 488 acara dipertandingkan dengan lebih 9000 atlet seluruh negara hadir ke Sarawak bermula awal minggu lalu.
Sukan popular seperti bola sepak dan futsal pastinya menjadi acara tumpuan dengan penyokong tanah air mahu melihat bakat-bakat muda menerusi perlawanan tersebut.
Namun, ramai tidak sedar bahawa temasya tersebut turut menyaksikan bakat muda dalam sukan kurang dikenali menunjukkan kebolehan masing-masing di pentas kebangsaan.
BACA LAGI: Pasang cita-cita pulang ke Penang, ramai pangkah kepulangan striker 'ceroi'
BACA LAGI: KDA FC, The City Boys disaran jangan cari 'penyakit' menjelang jendela perpindahan
Alya Afza ketika dalam sesi latihan menjelang acara golf yang berlangsung pada Jumaat.
Antaranya ialah pemain golf amatur, Alya Afza Hazari yang mewakili negeri kelahirannya, Kedah untuk bersaing dalam acara golf bagi kategori individu wanita dan berkumpulan.
Dalam pada itu, menjelang kejohanan yang dijadual bermula pada 16 sehingga 18 Ogos nanti, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu sempat berkongsikan perasaannya sebelum memulakan saingan di Sarawak.
"Sudah tentu sampai saja dekat Sarawak, saya rasa sedikit berdebar-debar dan tiba-tiba terlintas dalam fikiran tak nak main.
"Namun, selepas beraksi dan menjalani sesi latihan selama dua minggu di padang golf ini, Alhamdullilah, saya rasa lebih yakin," katanya kepada Majoriti.
Menurut Alya Afza, kontinjen Kedah mengambil keputusan untuk terbang ke Bumi Kenyalang itu dua minggu lebih awal untuk persediaan dalam acara tersebut.
"Kontinjen Kedah tiba awal di Sarawak dan kami sudahpun menjalani latihan setiap hari, iaitu pada waktu pagi dan petang," jelasnya.
Alya Afza enggan menaruh harapan tinggi dalam temasya SUKMA Sarawak bagi acara individu dan hanya menyasarkan pingat gangsa.
Ditanya mengenai persediaan kontinjen Kedah dalam acara tersebut, Alya Afza mendedahkan bahawa pasukannya itu kini jelas lebih bersedia.
"Kami mencurahkan usaha dengan giat dalam SUKMA kali ini. Untuk persediaan, apa yang saya boleh nyatakan adalah 80 peratus kami sudah bersedia dan bakinya akan diketengahkan pada hari pertandingan terutamanya dari segi mental," ujarnya.
Bercakap mengenai sasaran pingat, pemain yang pernah menjuarai RKC Junior Tournament 2023 itu secara peribadi enggan meletakkan cita-cita tinggi malah hanya menyasarkan pingat gangsa.
Untuk rekod, Alya Afza kini berada di kedudukan 1,209 dunia.
"Untuk acara individu wanita, sasaran saya adalah pingat gangsa kerana banyak pasukan yang kuat antaranya Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak, manakala untuk acara berkumpulan, kami menyasarkan pingat perak atau emas.
"Jika nak cakap mengenai pesaing, saya rasa ramai saja pesaing yang ada, tapi pendapat saya, saya tak rasa pun ada pencabar utama dalam acara ini sebab sukan golf adalah sukan yang sukar untuk dibaca.
"Setiap pemain adalah pesaing bagi saya dan semua yang layak untuk bermain SUKMA merupakan individu yang mempunyai kekuatan tersendiri," jelasnya.
Alya Afza yang kini berada di kedudukan 1,209 dunia enggan menaruh harapan tinggi dalam acara tersebut.
"Begitupun, nasihat untuk diri sendiri adalah jangan terlalu rasa tertekan sekiranya usaha anda tidak membuahkan hasil, janganlah letak harapan terlalu tinggi.
"Pasanglah cita-cita yang besar tetapi letakkanlah tanggapan tidak terlalu hebat dan jangan berhenti meskipun rasa tiada lagi jalan kerana tiada yang mustahil.
"Jangan pernah berputus asa dan kena percayakan diri sendiri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram