Piala Sultan Selangor: 3 legenda Singapura sanggup datang lawan Gergasi Merah


  • Podium
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Faris (kiri) serta Fandi (kanan) akan kembali bersama skuad Pilihan dan Veteran Singapura di Piala Sultan Selangor 2024.

SETELAH lama menyepi, kejohanan jemputan iaitu Piala Sultan Selangor (PSS) kembali lagi untuk edisi 2024 dengan perlawanan akan diadakan pada 17 Ogos di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Kejohanan itu diadakan untuk menghidupkan semula perseteruan antara Selangor FC dengan Singapura yang pernah mewarnai bola sepak Malaysia satu masa dahulu.

Dengan mengadakan dua perlawanan melibatkan skuad semasa (Pilihan Selangor lawan Pilihan Singapura) serta aksi pasukan veteran (Veteran Selangor lawan Veteran Singapura), terdapat tiga bekas wira Singapura yang pernah beraksi di Malaysia kembali ke negara ini untuk perlawanan tersebut.

BACA LAGI: Persib Bandung, jaguh dari Korea dan Singapura boleh jadi lawan ideal Selangor di Asia

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ibarat wiper', Fandi Ahmad puas hati saksikan sumbangan permata baharu Tok Gajah

Faris Ramli

Salah seorang antara pemain handalan yang dihasilkan oleh Singapura pada era moden. Faris merupakan pemain sayap yang pernah beraksi di Malaysia untuk beberapa musim.

Mencipta nama bersama-sama Lions XII dengan merangkul Liga Super 2013 dan Piala FA 2015, Faris turut bermain untuk PKNS FC serta Perlis.

WhatsApp Image 2024-08-13 at 18.25.48

Faris (kanan) beraksi dengan Terengganu yang merupakan kelab terakhir di Malaysia. — Terengganu FC

Selepas Perlis dia kembali ke Singapura pada 2019 untuk bersama Hougang United sebelum dilamar Terengganu FC dan mencipta sensasi di sana.

Untuk rekod, perlawanan PSS ini bukanlah sesuatu yang asing buat bintang BG Tampines Rovers itu kerana Faris pernah beraksi untuk Pilihan Singapura pada 2017 dan Pilihan Selangor setahun kemudian ketika bersama Sang Semut Merah.

Fandi Ahmad

Nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Fandi Ahmad sememangnya adalah seorang legenda di Singapura serta Malaysia.

Ketika di zaman bermain, Fandi hanya beraksi untuk musuh-musuh Selangor seperti Kuala Lumpur City FC ketika mereka meraih gelaran hatrik Piala Malaysia (1987-1989) serta Sri Pahang (1991-1992) dan Singapura (1993-1994) di tempoh akhir mereka dalam liga tempatan sebelum meninggalkan Liga M.

fandi-ahmad

Nama Fandi (tengah) sentiasa mekar dalam sejarah bola sepak Kuala Lumpur. — Agensi

Namun begitu, Fandi pernah bermain untuk Selangor untuk satu perlawanan iaitu sewaktu Gergasi Merah berdepan Boca Juniors yang dibarisi Diego Maradona pada 1982 di Stadium Merdeka. Dalam kemenangan 2-1 memihak Boca, Fandi yang berusia 19 tahun ketika itu menjaringkan gol tunggal Selangor.

Bersara pada 1999, pengendali semasa Sri Pahang itu sering beraksi buat Veteran Singapura dalam PSS.

Madhu Mohana

Bersama-sama Faris dalam mencipta gemilang Lions XII, Madhu Mohana juga merupakan salah satu nama yang bakal memeriahkan PSS edisi 2024.

Meraih Liga Super dan Piala FA, Madhu bukanlah nama asing dalam saingan Liga M walaupun banyak menghabiskan masa di Singapura selepas Lions XII dibubarkan pada 2015.

i (2)

Madhu (kanan) bersama-sama Faris (kiri) ketika zaman Lions XII mereka. — Agensi

Tiga tahun kemudian, pemain pertahanan itu kembali semula ke Malaysia untuk bersama-sama Negeri Sembilan FC namun dia tidak sempat melakukan sebarang penampilan akibat kontraknya ditamatkan kerana kecederaan.

Kini bersama Balestier Khalsa, Madhu berpeluang menghidupkan memori indah meraih piala di Malaysia bersama-sama Faris dengan menewaskan Pilihan Selangor di PSS. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram