SELEPAS mempertahankan kejuaraan Liga Super buat tahun ke-10 berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal berentap di pentas Asia dengan pelbagai pasukan handal bakal ditemui mereka.
Menariknya, bagi saingan kali ini, skuad Harimau Selatan akan berentap dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit dengan perubahan sudah dilakukan pihak penganjur terhadap format permainan.
Sekiranya pada tahun-tahun sebelum ini, jaguh bola sepak negara itu akan berdepan tiga kelab lain di peringkat kumpulan sekiranya mahu merebut slot di pusingan kalah mati.
BACA LAGI: Mampu bayar RM500,000 tebus kontrak bintang ACL, bukti status kewangan Kedah sudah pulih
BACA LAGI: Tolak peluang ke ACL, kelab gergasi Singapura nantikan Terengganu, KL City dalam ACC
Cabaran besar menanti skuad Harimau Selatan di pentas Asia kali ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, pada edisi kali ini, JDT akan berentap dalam kumpulan mengandungi 12 pasukan sekitar Asia dengan format 'Swiss League' diguna pakai bagi menentukan kelab yang bakal bersaing di peringkat seterusnya.
Jadi, cabaran lebih hebat pasti akan menanti skuad bimbingan Hector Bidoglio memandangkan mereka akan beraksi sebanyak lapan kali dengan empat daripadanya diadakan di tempat sendiri.
Selain perlu berdepan bintang berkualiti sekitar Asia, beberapa pemain dengan pengalaman tahap tertinggi juga akan menunggu pasukan Selatan tanah air itu kali ini.
Tetapi, apa yang orang ramai mungkin tidak tahu adalah apabila terdapat kelab bakal menurunkan nama-nama yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) satu ketika dahulu.
1. Ryo Miyaichi (Arsenal)
Ketika ini, kehadiran pemain Asia di EPL bukanlah sesuatu yang mengejutkan dengan Son Heung-min bersama Tottenham Hotspur dan Wataru Endo dengan Liverpool merupakan nama yang sering diturunkan pasukan masing-masing.
Namun, kira-kira 10 tahun lalu, pemilihan pemain dari benua itu kerap menimbulkan kejanggalan kerana perbezaan dari segi fizikal dan pengalaman menyukarkan keberadaan mereka dalam kesebelasan utama.
Tetapi, ia tidak menghalang segelintir nama untuk mengambil risiko dan menyertai kelab dalam liga ternama berkenaan dengan bekas penyerang kebangsaan Jepun, Ryo Miyaichi adalah salah satu daripadanya.
Ryo Miyaichi pernah beraksi di Eropah sebelum pulang ke Asia. — Agensi
Dia yang menyertai sesi percubaan dikhabarkan menarik perhatian bekas pengurus The Gunners, Arsene Wenger yang bertindak menawarkan kontrak profesional buatnya pada usia 18 tahun.
Bagaimanapun, dengan lambakan pilihan di posisi serangan, Miyaichi kemudiannya dilepaskan beberapa kali secara pinjaman dengan kelab di Belanda merupakan antara destinasinya.
Kesukaran itu tidak menghalang pemain berkenaan daripada mencetak sebarang penampilan buat Arsenal apabila dia pernah beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 2013.
Kini, pada usia 31 tahun, Miyaichi masih meneruskan karier profesional bersama kelab Jepun, Yokohama F Marinos yang juga akan berentap dalam ACL Elit musim ini.
2. Oscar (Chelsea)
Satu ketika dahulu, lambakan pemain ternama sekitar Eropah mengambil keputusan untuk menyertai kelab China dengan tawaran lumayan ditawarkan terlalu sukar untuk ditolak.
Salah seorang daripada mereka ialah bekas pemenang EPL bersama Chelsea, Oscar yang berhijrah ke negara itu pada Disember 2016 untuk menyertai Shanghai Port dengan yuran perpindahan £60 juta (RM340 juta) berdasarkan nilai terkini.
Keputusan itu menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan dia sedang berada di kemuncak karier selain acap kali berada dalam senarai panggilan untuk mewakili Brazil.
Oscar terus mengukuhkan namanya sebagai antara import terbaik di China. — Agensi
Namun, dengan perpindahan tersebut sudah dimeterai, Oscar membuka mata orang ramai mengenai tahap kompetitif bola sepak di Asia apabila beberapa kali beraksi di ACL.
Malah, penghijrahan berkenaan membuahkan hasil buatnya apabila pemain berusia 32 tahun terbabit pernah menjuarai Liga Super China sebanyak dua kali, termasuk pada 2023.
Kejayaan itu membolehkan Oscar beraksi dalam ACL Elit musim ini bersama Shanghai Port dengan peluang cerah bagi mereka mengetahui kebolehan sebenar JDT di pentas Asia.
3. Joao Teixeira (Liverpool)
Seorang lagi bekas pemain EPL yang kini beraksi dalam Liga Super China ialah bekas prospek hangat dari Liverpool, Joao Teixeira selepas dia menyertai Shanghai Shenhua pada 2023.
Dia mengambil keputusan untuk mencuba nasib di Asia selepas menyertai beberapa pasukan sekitar Eropah, namun tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan.
Jadi, dengan pengalaman diraih sepanjang karier, pemain tengah menyerang itu berpindah dengan langkah berkenaan membawa pulangan berbaloi apabila dia sudah merekodkan tujuh gol dan empat bantuan jaringan dalam Liga Super China 2024.
Karier Joao Teixeira mula melonjak selepas menyertai Shanghai Shenhua. — Instagram/Joao Teixeira
Sumbangan itu menyaksikan Joao Teixiera bakal berentap dalam saingan ACL Elit musim ini bersama Shanghai Shenhua selepas melayakkan diri menerusi pusingan play off.
Pencapaian berkenaan menyaksikan kelab kendalian Leonid Slutsky itu bakal berdepan pasukan terbaik sekitar Asia, termasuk JDT yang amat berpengalaman di Asia.
Kehadiran Joao Teixeira sudah tentu akan diperhatikan skuad Harimau Selatan dalam misi mereka mengekang pemain itu daripada terus mengucar-ngacirkan benteng pertahanan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram