[VIDEO] Dah sarung jersi TFC, 2 ejen Terengganu cuba pancing prospek hangat Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Akhyar dan Shakir meluangkan masa bersama Haqimi selepas tamat perlawanan antara Kuala Lumpur dan Terengganu.

PROSPEK hangat Harimau Muda, Muhammad Haqimi Azim kini menjadi rebutan beberapa pasukan Liga Super selepas tampil cemerlang bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) musim ini.

Antara pasukan dikaitkan dengan Haqimi ialah Selangor FC yang mahu memburu pemain sayap baharu selepas kecederaan menimpa permata negara, Muhammad Faisal Halim akibat disimbah asid pada Mei lalu.

Mampu beraksi di posisi sayap dan penyerang, Haqimi telah melakukan dua bantuan jaringan gol dalam enam perlawanan terakhir The City Boys.

BACA LAGI: [VIDEO] Taktikal tak sehebat Solari, pemain baharu JDT mungkin talian hayat Bidoglio

BACA LAGI: [VIDEO] Gelaran ahli akademik tak halang Raygun cipta sejarah 'breakdance' di Olimpik Paris 2024

Selain itu, Haqimi turut pernah menjaringkan gol buat skuad kebangsaan selepas menjadi sebahagian daripada pasukan ketika kejohanan Piala AFF 2022 menentang Laos di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Disember 2022.

Pemerhati sukan, T. Avineshwaran turut melaporkan bahawa Selangor kini sedang memantau rapat perkembangan pemain berusia 21 tahun itu.

Namun dalam Selangor memantau rapat, adakah Haqimi sudah memberi bayangan bakal berhijrah ke pasukan baharu selepas berjumpa dengan dua bintang Terengganu FC selepas tamat perlawanan pada hujung minggu lalu.

Menerusi sebuah video tular di media sosial, Haqimi dilihat telah pun memakai jersi Terengganu sambil secara santai berborak bersama Akhyar Rashid dan Engku Nur Shakir selepas tamat perlawanan.

Untuk rekod, Kuala Lumpur tewas di tangan Terengganu dalam perlawanan Liga Super minggu kelapan dengan keputusan 0-2 hasil jaringan Manuel Ott dan Safawi Rasid.

Perjumpaan Haqimi itu sekali gus mewujudkan banyak persoalan dan khabar angin mengenai perpindahannya ke kelab Pantai Timur tersebut.

Sebelum ini, Haqimi memilih untuk kekal bersama The City Boys kerana mahu mendapatkan lebih banyak minit permainan meskipun kelab itu menghadapi masalah pembayaran gaji.

Ternyata kesetiaan Haqimi itu dibalas oleh jurulatih selepas kerap mendapat tempat di bawah kendalian Miroslav Kuljanac dan membantu KL City mengutip 11 mata dalam Liga Super.

Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi berkenaan perpindahan ini sama ada dari kelab mahupun pemain sendiri.

Haqimi juga antara pemain serangan yang banyak mencipta peluang dan melakukan percubaan dalam setiap perlawanan menurut data MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram