RUANG kosong perlu diisi oleh kelab Borneo, Sabah FC untuk menguatkan barisan serangan mereka.
Selepas perginya penyerang berbisa iaitu Ramon Machado ke kelab Azerbaijan, Araz-Naxcivan PFK, Sabah perlu mengisi kekosongan tersebut supaya serangan mereka terus ampuh.
Mereka masih mempunyai penyerang lain seperti Darren Lok, tetapi ia masih belum cukup buat skuad Datuk Ong Kim Swee mencabar kedudukan atasan Liga Super.
BACA LAGI: Selangor terlepas, Ramon Machado kembali ke Liga Azerbaijan
Timbul desas-desus untuk Sabah membawa pulang bekas penyerang yang pernah bermain di Liga Malaysia iaitu Herlison Caion.
Caion sebelum ini pernah menyertai dua kelab Lembah Klang iaitu Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC dan tidak berjaya memenuhi jangkaan penyokong di sana.
Caion (tengah) dianggap tidak berjaya di Selangor dan KL City. — Agensi
Dengan gosip mengatakan dia akan menyertai Sabah, jelas sekali penyokong skuad Badak kurang menerima kehadiran penyerang tersebut dek kerana rekod tidak eloknya di Malaysia.
Namun, menyedari tahap kewangan kelab yang tidak begitu baik, penyokong Sabah menyedapkan hati mereka melihat keputusan pengurusan Sang Badak ingin membawa Caion ke Likas.
"Bajet terhad bosku," kata penyokong bernama Rahman Mohd Arifin.
"Bajet rendah bos. Kalau bajet mantap, mereka sign Kylian Mbappe," ujar Nazril Weedon.
"Kalau bajet cukup tak kisah nak ambil Cristiano Ronaldo, Lionel Messi pun boleh kalau kewangan betul-betul tiada masalah. Kalau bajet cukup-cukup saja, ikutlah yang termampu," komen Bailey Bailey.
Walaupun Caion dianggap sebagai flop di Liga Super, tetapi penyokong Sabah sedia untuk memberikan sokongan kepadanya apabila sah bersama mereka kelak.
"Gelaran flop mungkin terlalu memperlekeh kebolehan dia. Liga Thailand rasanya jauh lebih kompetitif dari Liga M. Dengan Selangor FC dulu dia beraksi cukup baik juga tu, siap gol lawan Sabah FC juga," kata Barman Omoi.
"Dia ada rekod yang baik bersama selangor cuma mungkin di KL City dia tiada gandingan macam di Selangor, sebab itulah nampak rekod dia tidak baik. Perlu ada gandingan juga bah mana tahu bila main di Sabah prestasinya kembali, bersangka baik saja," komen Sylvester Taha dengan optimis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram