PERSIAPAN Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk ke saingan musim 2024/2025 tidak lagi sepi apabila skuad Sang Kenari sudah mula rancak mengumumkan ketibaan pemain baharu yang bakal memperkuatkan pasukan tahun ini.
Setakat ini, pasukan Hijau Kuning sudah mengumumkan kehadiran lima pemain baharu yang terdiri daripada empat tonggak tempatan iaitu Rizal Ghazali, Zamri Pin Ramli, Irfan Zakaria, Syafiq Ahmad dan bintang import, Sukhrob Nurullaev.
Antara lima wajah baharu itu, Nurullaev yang diterbangkan dari Uzbekistan menjadi tumpuan penyokong sehingga dilaporkan hampir 500 peminat sanggup turun ke padang latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah untuk menyaksikan kelibatnya.
Penyokong yang sanggup berpusu-pusu menyaksikan latihan pertama pemain berusia 26 tahun itu pastinya teruja untuk melihat skil dan kualiti Nurullaev sebagai penyerang sayap kanan menggantikan Manuel Hidalgo.
Bukan itu sahaja, perpindahan bekas bintang Nasaf Qarshi ini ke bumi Darul Aman juga membuktikan bahawa kewangan pasukan Utara tanah air berkenaan semakin pulih dan dijangka sudah membayar semua tunggakan gaji sebelum ini.
BACA LAGI: Pengganti Hidalgo sudah ditemui, Kedah ambil pemain sayap Uzbekistan
Selain Kedah, Nurulleav sebelum ini hanya beraksi dengan kelab di Uzbekistan. — Instagram/KDAFC
BACA LAGI: Saham tengah naik, import baharu Kedah boleh 'padamkan' kenangan indah Hidalgo
Teori kantung kewangan Kedah mula stabil apabila kelab kendalian Nafuzi Zain tersebut difahamkan sanggup membayar kelab Uzbekistan, Nasaf Qarshi sebanyak 100,000 euro (RM513,104) untuk menebus kontrak Nurullaev.
Terdahulu, nama Kedah dipetik antara yang akan diturunkan pangkat ke sainga Liga M3 kerana dikesan tidak dapat membayar tunggakan gaji pemain dan kakitangan mengikut tarikh ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Namun, kesanggupan Kedah membawa masuk Nurullaev juga berbaloi kerana pengalamannya yang pernah beraksi sebanyak enam perlawanan sambil menghasilkan dua gol ketika membantu Nasaf dalam saingan ACL.
Selain itu, namanya juga pernah menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan Uzbekistan apabila pernah mewakili negaranya dalam semua peringkat umur hinggalah ke skuad bawah 23 tahun (B-23).
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Kedah menebus kontrak pemain sayap kanan apabila sebelum ini skuad Hijau Kuning juga difahamkan mengeluarkan wang yang banyak untuk merekrut Hidalgo dari Sri Pahang pada musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram