KEHADIRAN bekas bintang LaLiga 2, Iker Undabarrena pastinya menghadirkan sesuatu kelainan kepada corak permainan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang perlawanan pusingan kedua Liga Super nanti.
Pemain berusia 29 tahun itu mempunyai pengalaman luas beraksi di divisyen kedua Liga Sepanyol dengan melakukan 170 penampilan dan sempat meledak satu gol serta tujuh bantuan jaringan.
Dalam 170 penampilan itu, Iker pernah beraksi bersama beberapa kelab yang boleh dilabelkan kelab elit di Sepanyol antaranya ialah Athletic Bilbao dan CD Leganes.
BACA LAGI: [VIDEO] Wajah mirip Kaka, JDT umum pengganti Jalil Elias
BACA LAGI: Ulangi skrip 2023, JDT buat Kedah terseksa, gol roket Bergson pasti jadi igauan
Selain beraksi di Liga Sepanyol, bekas graduan Akademi Athletic Bilbao ini juga pernah melebarkan sayapnya di bumi Portugal pada musim 2020/2021 bersama CD Tondela.
Sebelum menyertai induk Harimau Selatan, Iker sempat mencatatkan lebih 2,000 minit permainan bersama CD Leganes sekali gus memberi signal bahawa pemain ini akan menjadi aset penting buat Hector Bidoglio.
Manakan tidak, walaupun JDT belum lagi mengalami sebarang kekalahan musim ini tetapi corak permainan yang diterapkannya mula mendapat kritikan daripada penyokong Harimau Selatan sendiri.
Solari musim lalu cemerlang membawa JDT melakar kejuaraan ke-10 Liga Super.
Penyokong Harimau Selatan banyak membandingkan corak permainan diterapkan Bidoglio dengan pengendali terdahulu yang lebih berbahaya pada musim-musim sebelum ini.
Dengan itu, penyokong beranggapan kemasukan Iker dan pemain baharu lain antara talian hayat baharu buat Bidoglio untuk menerapkan sistem permainan yang diinginkan oleh jurulatih kelahiran Argentina itu.
Penyokong juga merasakan sebelum ini corak permainan Bidoglio tidak menjadi kerana pemain yang dibawa masuk atas permintaan Esteban Solari.
“Pemain yang ada pun semua pasukan tak dapat lawan dengan JDT, masuk lagi pemain baharu yang berkualiti macam ini, nampak gaya semua tak dapat tandingi JDT dan jurang semakin jauh,” kata Rosli Daud.
“Pemain pun mainkan peranan, mungkin pemain yang Hector Bidoglio dapat dari taktikal Solari, jadi tak sama.
“Tak apa bagi peluang dulu, ini dah banyak pemain baru masuk kita tengok lepas ini macam mana,” luah Norsyazwan Hariz.
“Jurulatih sahaja yang belum JDT buat pengumuman bila nak penuh dengan kejutan?” soal Mohd Bokhari.
JDT sebelum ini sudah pun mengumumkan beberapa pemain baharu antaranya Enzo Lombardo (Perancis), Park Jun-heong (Korea Selatan), Eddy Israfilov (Azerbaijan) dan Christian Abad (Sepanyol). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram