INSIDEN pergaduhan dalam sebuah perlawanan bola sepak bawah 18 tahun (B-18) peringkat negeri Johor menyebabkan tiga pemain sudah menerima hukuman tegas daripada pengadil perlawanan.
Ketua Polis Daerah Mersing, Supritendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, tiga pemain yang bergaduh ketika aksi antara MSS Batu Pahat dengan MSS Johor Bahru dengan perlawanan diadakan di SMK Mersing, Johor.
Kata Abdul Razak, ketiga-tiga pemain tersebut menerima hukuman keras daripada pengadil dengan perlawanan berjaya ditamatkan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
BACA LAGI: [VIDEO] Main kasar jadi punca, 3 pemain kena kad merah di kejohanan MSS Johor
BACA LAGI: Liga Super 'sack race', 2 pengendali kelab Pantai Timur dalam potensi direhatkan
"Pada 10 Ogos, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing telah menerima maklumat satu video tular berkaitan kejadian pergaduhan melibatkan pemain dalam kejohanan bola sepak peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Johor tahun 2024.
"Kejohanan berlangsung di sebuah sekolah menengah di daerah ini. Insiden itu berlaku semasa permainan masih lagi berlangsung.
"Perlawanan bola sepak itu tamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang andaian berhubung insiden ini," kata Abdul Razak dalam kenyataannya.
Insiden tersebut tercetus sebaik sahaja MSS Batu Pahat menjaringkan gol kedua perlawanan sekali gus memastikan MSS Batu Pahat muncul juara dengan keputusan 2-1.
Berang dengan apa yang berlaku, penjaga gol MSS Johor Bahru bertindak menolak seorang pemain MSS Batu Pahat dengan kasar.
Tindakan itu menyebabkan pemain berkenaan bertindak balas sekali gus mencetuskan perbalahan antara pemain kedua-dua pasukan.
Insiden ganas tersebut memaksa pasukan pengadilan bekerja keras untuk menenangkan pemain kedua-dua pasukan.
Setelah keadaan kembali terkawal, pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada dua pemain MSS Johor Bahru, sementara seorang lagi pemain MSS Batu Pahat turut mengalami nasib sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram