SUKMA 2024: Juara bertahan bermula langkah kiri, bintang muda JDT malukan Terengganu


  • Podium
  • Selasa, 13 Ogos 2024

Aysar (tengah) meraikan jaringannya untuk Johor ketika berdepan Terengganu. — JOHOR Southern Tigers

PENYANDANG pingat emas bola sepak lelaki Sukan Malaysia (SUKMA), Terengganu memulakan misi pertahankan gelaran dengan langkah kiri apabila kalah kepada Johor pada aksi pembukaan SUKMA 2024.

Diadakan di Stadium Zaid Adruce, Sibu, Sarawak pada Isnin, Johor yang diwakili oleh skuad Johor Darul Ta'zim III (JDTIII) menumpaskan Terengganu dengan keputusan 1-0.

Jaringan oleh bintang muda JDT, Aysar Hadi Mohd Shapri memastikan Johor membawa pulang tiga mata penuh.

BACA LAGI: SUKMA 2024: Hilang bintang muda tidak resahkan kem Selangor

BACA LAGI: Pasti dirindui, bina badan antara 3 acara sukan 'tercicir' di temasya SUKMA Sarawak

Gol oleh Aysar itu hadir pada minit ke-61 dengan Johor kini berpeluang mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya jika berjaya mengalahkan Sabah dalam perlawanan pada Rabu.

Terengganu yang dibimbing oleh bekas pemain kebangsaan, Subri Sulong harus melakukannya sekali lagi pada perlawanan terakhir berdepan Sabah Jumaat ini. Hanya kemenangan yang dapat memastikan Terengganu meneruskan misi mengekalkan pingat emas dimenangi mereka.

Sementara itu, tuan rumah Sarawak tidak berjaya mendapatkan tiga mata selepas mereka tumpas 0-1 kepada Perak dalam aksi yang diadakan di Padang Mesra Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Mukah.

Pemenang pingat perak edisi lalu, Pulau Pinang pula diikat 0-0 dengan Melaka sambil Wilayah Persekutuan menewaskan Pahang 1-0 serta Selangor mengalahkan Negeri Sembilan 2-0.

Acara bola sepak dimulakan empat hari lebih awal dengan SUKMA 2024 hanya akan dibuka secara rasmi pada 17 Ogos. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram