Tak mahu berselindung di sebalik 2 gangsa, misi Malaysia di Paris 2024 masih dianggap gagal


  • Podium
  • Selasa, 13 Ogos 2024

Misi Malaysia mencari pingat emas di Sukan Olimpik 2024 dianggap tidak berjaya. — MOM

KONTINJEN negara di Sukan Olimpik terus kempunan apabila mereka sekali lagi tidak berjaya untuk membawa pulang pingat emas.

Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis menjadi saksi, kontinjen sekadar meraih dua pingat gangsa iaitu menerusi Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton.

Penantian berterusan berserta dengan soalan, bilakah akan tiba masanya?

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal 'angkat' pingat emas, Hannah Yeoh anggap Aniq ikon sukan terbaharu negara

BACA LAGI: Dapat bajet tertinggi RTG, badminton kekal sukan harapan buru emas Olimpik

453313399_900591268772708_3150311366766090784_n

Badminton membawa pulang dua gangsa untuk Malaysia. — MOM

Melihat kepada prestasi kontinjen Malaysia, persembahan di Paris 2024 bukanlah yang terbaik. Malah, ia mungkin paling berprestasi rendah dalam beberapa edisi sejak 2008.

Hal ini kerana, sejak mula membawa pulang pingat secara konsisten pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China, temasya Paris 2024 menyaksikan Malaysia cuma berhasil mendapatkan gangsa.

Tetapi berbeza ketika temasya yang diadakan di Beijing, London (2012), Rio de Janeiro (2016) dan Tokyo (2020) di mana Malaysia mampu membawa pulang pingat perak walaupun masih kempunan emas.

Bagi pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, misi di Malaysia di Sukan Olimpik dianggap gagal walaupun berjaya membawa dua gangsa.

Hal ini kerana, sasaran untuk membawa pulang satu emas tidak berjaya kerana Malaysia diibaratkan membawa ramai pelajar untuk memasuki peperiksaan.

Namun begitu, kesemuanya berjaya lulus dalam ujian tersebut tetapi tiada yang cemerlang.

453183818_903321975166304_4690989966367897060_n

Azeem Fahmi (dua dari kanan) ketika beraksi dalam acara pecut 100 meter. — MOM

"Kita harus berpaksikan pada sasaran utama yang kita telah tetapkan iaitu untuk mendapatkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik 2024. Malangnya sasaran itu tidak tercapai walaupun kita berjaya membawa pulang dua pingat gangsa.

"Apa pun rumusan yang dikeluarkan oleh pengurusan kontinjen Malaysia baik daripada menteri hingga ke chef de mission tentang prestasi keseluruhan atlet kita di Paris, saya tetap berpegang kepada sasaran utama yang kita tetapkan itu tidak tercapai," kata Pekan kepada Majoriti.

Dalam masa yang sama, Pekan tidak mahu berselindung di sebalik dua gangsa itu dengan mengatakan Malaysia masih gagal di Sukan Olimpik.

Walaupun adanya program seperti Road To Gold yang menelan belanja jutaan ringgit, ia masih belum mampu menghasilkan wira emas negara.

"Kesimpulannya kita perlu akui dengan adanya program khas Road To Gold dan macam-macam lagi nilai tambah dan peruntukan berpuluh-puluh juta ringgit untuk mencari emas pertama. Saya tidak berganjak walaupun dibayangi dengan dua gangsa untuk mengatakan secara peribadi jangan pura-pura untuk melupakan kita gagal mencapai sasaran di Paris," ujar Pekan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram