WAKIL Malaysia di kejohanan Asia, Selangor FC bakal mengetahui nasib mereka dalam pertandingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada 16 Ogos ini.
Hal ini kerana, pada tarikh tersebut, mereka akan mengetahui nasib mereka selepas mengetahui mereka diletakkan dalam Balang 2 (Pot 2) bersama-sama Port FC (Thailand), Sydney FC (Australia) dan Nam Dinh (Vietnam).
Dengan Selangor tidak akan berdepan tiga kelab berkenaan, masih ada beberapa pasukan menarik yang boleh menjadikan kumpulan dihuni Gergasi Merah cukup mencabar.
BACA LAGI: Nidzam terima hakikat menang semata-mata belum cukup buat Selangor FC
BACA LAGI: Bintang Selangor, Kedah dianggap 'scam', gagal tunjuk taring sebenar
Jeonbuk Hyundai Motors
Salah satu lawan daripada Balang 1 (Pot 1) yang menarik perhatian dan sesuai diletakkan bersama-sama Selangor adalah Jeonbuk Hyundai Motors.
Merupakan gergasi Korea Selatan, nama Jeonbuk dalam pertandingan Asia bukanlah asing dengan mereka pernah menjadi juara Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada 2006 dan 2016.
Kim Do-heon (kanan) pernah mewakili Negeri Sembilan sebelum bersara sebagai pemain. — Agensi
Ketika ini, Jeonbuk yang dikendalikan oleh bekas pemain Negeri Sembilan FC, Kim Do-heon sedang menduduki kedudukan yang kurang baik dalam saingan K-League 1 iaitu tempat kesebelas.
Namun begitu, mereka bukanlah lawan yang boleh dipandang rendah Selangor jika ditakdirkan bertemu.
Lion City Sailors
Antara calon lawan Selangor yang berpotensi dari Balang 3 (Pot 3) adalah wakil Singapura, Lion City Sailors (LCS).
Pasukan himpunan bintang Singapura ini menjadi sandaran negara tersebut di mana-mana saja dengan selain ACL2, LCS turut beraksi dalam Kejohanan Kelab Asean (ACC) dan akan berdepan Kuala Lumpur City FC di sana.
LCS mewakili Singapura dalam dua kejohanan antarabangsa musim ini. — Lion City Sailors Football Club
Menepati status sebagai gergasi Singapura, LCS kini berada di kelompok atasan saingan S-League dengan menduduki tangga kedua serta cuma tewas sekali dalam 10 perlawanan.
Ia dilihat sebagai aksi menarik untuk disaksikan kerana hingga kini, LCS masih belum berdepan dengan mana-mana wakil Malaysia dalam perlawanan kompetitif.
Persib Bandung
Satu kelab yang menarik untuk 'dijodohkan' bersama Selangor dari Balang 4 (Pot 4) adalah Persib Bandung.
Kelab gergasi Indonesia itu amat dikenali dengan sokongan padu para penyokong mereka yang dikenali sebagai Bobotoh. Malah, kelab ini turut dikendalikan oleh bekas pengendali KL City iaitu Bojan Hodak.
Persib Bandung adalah juara Liga 1 Indonesia musim lalu. — Persib Bandung
Sudah pasti, pertemuan antara kedua-dua kelab ini jika berlaku adalah cukup menarik untuk disaksikan melihat kepada permusuhan antara Malaysia dan Indonesia dalam bola sepak.
Malah, ia juga menarik untuk disaksikan kerana faktor Hodak yang cukup 'masak' dengan bola sepak Malaysia. Oleh itu, pastinya dia tahu bagaimana hendak pastikan Persib mampu menewaskan Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram