WAKIL Malaysia di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Johor Darul Ta'zim bakal mengetahui siapakah lawan mereka di peringkat liga (league stage) dalam undian diadakan pada Jumaat (16 Ogos).
Diletakkan dalam Balang 1 bersama-sama Vissel Kobe (Jepun), Ulsan HD (Korea Selatan), Shanghai Port (China), Buriram United (Thailand) dan Central Coast Mariners (Australia), JDT berpotensi untuk berdepan empat daripada kelab itu.
Baki empat kelab menanti Harimau Selatan di peringkat liga adalah kelab-kelab di Balang 2 iaitu Kawasaki Frontale (Jepun), Pohang Steelers (Korea Selatan), Shanghai Shenhua (China), Yokohama F. Marinos (Jepun), Gwangju FC (Korea Selatan) dan Shandong Taishan (China).
BACA LAGI: Spekulasi akhirnya terjawab, Pan-gon sah sertai musuh JDT di pentas Asia
BACA LAGI: Ejen Luqman Hakim bongkar gaji Kim Pan-gon cecah hampir RM200,000, FAM anggap sudah selesai
Melihat kepada peluang ini, pemerhati bola sepak tempatan, T. Avineshwaran teruja untuk melihat potensi JDT berdepan beberapa pasukan terutamanya Ulsan yang kini dilatih oleh bekas jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon.
Katanya, sekiranya JDT perlu berdepan Ulsan, ia akan menarik minat seluruh penyokong bola sepak tempatan.
"Jika Ulsan akan berdepan JDT, saya pasti ramai pihak terutamanya penyokong Malaysia akan menonton perlawanan tersebut.
"Kita sendiri tahu yang ramai pemain kebangsaan bermain untuk JDT, jadi ia akan menjadi satu kelebihan buat mereka untuk berdepan Ulsan kerana mereka tahu apa yang ingin diterapkan oleh Pan-gon ketika perlawanan.
"Tapi kita perlu ingat, Ulsan juga merupakan kelab yang mempunyai kualiti yang amat tinggi, berpengalaman luas beraksi di Asia dan serta dibantu dengan tahap K-League yang lebih baik berbanding Malaysia. Ia adalah satu perlawanan yang akan menarik minat semua penyokong," kata Avinesh kepada Majoriti.
Selain daripada Ulsan, Avinesh juga tertarik untuk melihat JDT berdepan dengan beberapa kelab seperti Kawasaki Frontale, Buriram United yang dibarisi oleh pemain kebangsaan iaitu Dion Cools serta Shanghai Port.
Shanghai Port merupakan kelab yang menarik untuk disaksikan kerana mereka dilatih oleh bekas pengendali Yokohama F. Marinos iaitu Kevin Muscat serta dibarisi mantan bintang Chelsea iaitu Oscar.
Mencongak peluang JDT untuk mara ke pusingan seterusnya, Avinesh tidak menolak perkara itu untuk berlaku dan JDT mampu melakukannya.
Ia dapat dilihat apabila JDT pada musim ini begitu serius membawa masuk beberapa pemain baharu untuk menguatkan skuad sedia ada.
"Musim ini dapat dilihat mereka serius membawa bakat-bakat dari Eropah, mereka tidaklah ternama tapi sudah bermain di saingan terbaik Eropah.
"Sebelum ini, kita dapat lihat JDT mengalami masalah untuk menguasai bola ketika perlawanan di Asia. Mereka sering bergantung harap kepada organisation play yang bagus serta hantaran-hantaran yang baik serta serangan balas pantas.
"Mungkin dengan pemain-pemain baharu, JDT akan mempunyai lebih banyak penguasaan bola ketika berdepan kelab-kelab terbaik Asia dan saya rasa mereka akan berikan yang terbaik ketika menentang sesiapa saja," ujar Avinesh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram