Spekulasi akhirnya terjawab, Pan-gon sah sertai musuh JDT di pentas Asia


  • Podium
  • Ahad, 28 Jul 2024

Pan-gon mengambil keputusan mengejut dengan meninggalkan Harimau Malaya selepas dua tahun menabur bakti. — AFC

PEMERGIAN Kim Pan-gon daripada kerusi panas Harimau Malaya membawa kejutan terhadap penyokong memandangkan kariernya bersama skuad kebangsaan adalah cukup membanggakan.

Manakan tidak, dia yang membawa pasukan negara ke Piala Asia 2023 dilihat sebagai antara pengendali terbaik dalam era moden bola sepak negara.

Namun, berikutan pelbagai isu yang timbul, jurulatih kelahiran Korea Selatan berkenaan mengambil keputusan melepaskan jawatannya meskipun terdapat usaha menghalang hasrat tersebut.

BACA LAGI: Langgar kontrak, Kim Pan-gon perlu bayar lebih RM3 juta — FAM

BACA LAGI: Pesaing Liga China cuba 'hijack' penghijrahan Kim Pan-gon ke Ulsan

WhatsApp Image 2024-07-28 at 2.10.54 PM

Pan-gon diumumkan sebagai pengendali baharu Ulsan HD. Instagram/Ulsan HD

Perpisahan Pan-gon daripada posisi pengendali Harimau Malaya menimbulkan persoalan apabila orang ramai tertanya akan destinasi yang bakal ditujunya.

Reputasinya yang cukup dikenali bersama skuad kebangsaan sudah tentu diingini mana-mana kelab mahupun negara sekitar Asia untuk memberikannya kepercayaan sebagai ketua jurulatih.

Spekulasi itu akhirnya terjawab apabila pada Ahad, sebuah kelab berpangkalan di Korea Selatan, Ulsan HD mengumumkan pelantikan Pan-gon.

“Saya mengambil peranan sebagai pengurus rasmi buat kali pertama dalam Liga Korea Selatan. Ketegangan dan jangkaan sudah pasti wujud bersama.

“Saya rasa saya sudah melangkah jauh, tetapi saya mahu menunjukkan kepada peminat bola sepak Korea Selatan prestasi yang lebih matang," katanya.

Pan-gon sah menyertai kelab tersebut bagi menggantikan Hong Myung-bo yang baru-baru ini dilantik sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan Korea Selatan.

2377421

Ulsan HD berpengalaman bertemu JDT dalam peringkat kumpulan ACL dua musim kebelakangan ini.

Kehadiran pengendali berusia 55 tahun itu sekali gus menyaksikannya pulang ke pangkuan pasukan yang pernah diwakilinya ketika masih bergelar seorang pemain.

Khabar angin mengenai pelantikan Pan-gon sebagai pengurus baharu Ulsan HD bukanlah sesuatu yang baharu kerana dia pernah dikhabarkan menerima tawaran daripada kelab itu.

Bagaimanapun, jurulatih berkenaan bertindak menepis perkhabaran tersebut dengan alasan mahu menyelesaikan segala urusan ketika meninggalkan Harimau Malaya.

Untuk rekod, Ulsan HD yang menjuarai Liga Korea Selatan musim lalu akan berentap dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit di samping wakil negara, Johor Darul Ta'zim.

Pertembungan kedua-dua pasukan bukanlah sesuatu yang baharu kerana mereka sudah bertemu di peringkat kumpulan ACL buat dua tahun berturut-turut.

Meskipun skuad Harimau Selatan pernah menewaskan pasukan tersebut, kualiti dimiliki mereka tidak boleh dinafikan meskipun hanya bergantung kepada rata-rata pemain lokal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram