NASIB malang yang menimpa pelumba trek negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas penyertaannya dalam pusingan awal acara keirin Sukan Olimpik 2024 jelas menyedihkan.
Kesedihan itu dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia yang mengetahui betapa sukarnya dia untuk menelan perkara tersebut selepas berusaha keras demi meraih kejayaan di Sukan Olimpik terakhirnya.
Tetapi, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
BACA LAGI: Azizul hilang kelayakan akibat kesalahan teknikal, Shah Firdaus kini harapan emas Malaysia
BACA LAGI: Dihimpit teruk pelumba Perancis, Azizulhasni bagi 6 poin punca misi buru emas gagal
Datuk Nicol David (kiri) bersama Datuk Azizulhasni Awang (kanan)
Timbalan Chief de Mission Malaysia ke Sukan Olimpik, Datuk Nicol David mengatakan yang seluruh rakyat Malaysia perlu berada di belakang Azizul yang jelas hampa dengan nasib menimpanya.
"Sejak 20 tahun yang lalu, Datuk Azizulhasni Awang telah membuatkan negara kita bangga dan mendedikasikan hidupnya untuk menjadi pemenang pingat emas. Dia mengatasi situasi yang mengancam hidupnya, dia korbankan dirinya untuk impian meraih emas buat kita semua.
"Jika ada seseorang yang sedang kecewa, dialah orangnya, dia dalam kesakitan yang amat dalam dan kita sepatutnya pinjamkan bahu dan hulurkan tangan. Kita tak boleh sakitkan lagi yang sudah berada dalam kesakitan, itu bukanlah yang kita lakukan apabila seseorang itu sedang jatuh.
"Saya tahu yang semua rakyat Malaysia boleh faham yang satu kesilapan tidak menentukan dedikasi dan kehormatan seluruh hidup. Kita tak boleh lupa apa yang Azizul telah beri kepada kita," kata Nicol.
Tambah Nicol lagi, dia mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersolidariti terhadap nasib yang menimpa Azizul.
"Jika ada detik untuk rakyat Malaysia bersolidariti, detik itu adalah sekarang.
"Kepada seluruh rakyat Malaysia, ayuh berikan sokongan dan penghormatan kepada juara kita dan buat negara kita bangga. Mari kita berikan solidariti dan simpati dan tunjukkan nilai sebenar kita sebagai rakyat Malaysia," ujar Nicol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram