PERSIAPAN skuad futsal Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor menjelang temasya yang akan diadakan di Sarawak tidak lama lagi sedikit terganggu berikutan kehilangan beberapa pemain bintang.
Tonggak pasukan yang kini beraksi di Selangor FC, Syahir Iqbal Khan dilaporkan cedera ketika diturunkan dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL).
Dia yang merupakan antara permata baharu futsal negara sudah tentu diharapkan kontinjen Selangor sepanjang temasya tersebut dalam misi mereka meraih pingat sulung dalam acara itu.
BACA LAGI: Pasti dirindui, bina badan antara 3 acara sukan 'tercicir' di temasya SUKMA Sarawak
BACA LAGI: SUKMA 2024: Bintang kelab MPFL anggap tuan rumah, Pulau Pinang pencabar utama futsal Selangor
Syahir (kanan) tidak dapat berlatih sepenuhnya akibat kecederaan dan komitmen bersama Selangor FC.
Tetapi, bagi ketua jurulatih pasukan, Qusmaini Noor Rusli, kehilangan Syahir serta beberapa pemain lain tidak merencatkan pelan disediakan buat anak-anak buahnya.
"Kita sudah memasuki fasa ketiga yang ada dua minggu atau 10 hari dan ini adalah minggu terakhir persiapan pasukan sehingga Jumaat sebelum kita berlepas ke Kuching, Sarawak pada Ahad depan.
"Pemain pun ada yang baru sahaja selesai beraksi dalam MPFL, sama ada divisyen satu atau dua. Jadi, minggu ini, insya-ALLAH, kita akan perhalusi kekurangan sebelum persediaan bagi aksi pertama menentang Johor," katanya kepada Majoriti.
Berdasarkan hasil undian, skuad futsal Selangor diundi di samping Johor, Perak, Pahang serta tuan rumah, Sarawak dalam saingan Kumpulan B.
Skuad futsal Selangor akan berdepan cabaran hebat pada temasya tidak lama lagi. — Instagram/SUKMA Selangor Futsal
Mereka bakal memulakan aksi menentang Johor pada 13 Ogos sebelum berdepan jadual padat apabila akan bermain setiap hari bermula 15 Ogos sehingga 17 Ogos.
Pada edisi yang lalu, skuad futsal dari negeri tersebut terkandas di pusingan suku akhir dengan kedudukan itu pasti diharap dapat diperbaiki.
Tambah Qusmaini lagi, kehilangan pemain tidak membawa kegusaran buatnya kerana masing-masing hanya mengalami kecederaan ringan dan tidak begitu serius.
"Bagaimanapun, mereka masih memerlukan waktu rehat kerana mereka, terutamanya yang beraksi di Divisyen 1 dan Divisyen 2 MPFL menghadapi jadual padat dua bulan kebelakangan ini.
"Jadi, dengan adanya waktu senggang ini, saya harap mereka dapat waktu pemulihan sebelum perlawanan pertama nanti," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram