Serah misi emas Olimpik kepada Shah Firdaus, rakyat Malaysia mahu Azizulhasni yang jadi coach ganti Beasley


  • Podium
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Azizul (kiri) kini menyerahkan misi memburu emas Sukan Olimpik kepada Shah Firdaus (kanan).

KARIER berbasikal trek bagi Datuk Azizulhasni Awang berakhir dengan nota penuh perit apabila dia dibatalkan penyertaannya dalam acara keirin di Sukan Olimpik 2024 dekat Paris, Perancis.

Ia cukup mengecewakan dirinya dan jutaan rakyat Malaysia kerana misi memburu pingat emas tertangguh sekali lagi buat negara.

Bagi Azizul, masanya sudah tiba untuk menyerahkan semuanya kepada generasi baharu.

BACA LAGI: Saya akan jaga kebajikan Azizul — Hannah Yeoh

BACA LAGI: Dihimpit teruk pelumba Perancis, Azizulhasni bagi 6 poin punca misi buru emas gagal

Azizul tidak akan beraksi pada Sukan Olimpik 2028 (LA 2028) di Los Angeles, Amerika Syarikat dengan baton kini diserahkan kepada rakan sepasukan iaitu Shah Firdaus Sahrom.

"Saya berharap Shah akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa untuk terus kekal cemerlang di peringkat antarabangsa.

"Paling penting adalah untuk menggunakan empat tahun dari sekarang sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri ke temasya LA 2028. Mungkin bunyinya terlalu awal akan tetapi itulah realitinya apabila kita bergelumang di peringkat tertinggi ini.

"Saya percaya Shah akan jauh lebih bagus dan boleh memberikan pencapaian jauh lebih cemerlang di LA 2028 nanti. Baton has been passed, off to you my bro," ujar Azizul.

Melihat kepada keteguhan Azizul untuk terus bersara daripada sukan berbasikal, rakyat Malaysia masih mahukan dia terus menyumbang bakti dalam memburu pingat emas menerusi kapasiti berbeza.

Terdapat seruan daripada rakyat yang mahukan Azizul menjadi jurulatih menggantikan John Beasley dan meneruskan legasinya dalam sukan berbasikal negara.

Manakan tidak, Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan tugasan Beasley yang terakhir sebagai jurulatih dan selepas ini beliau akan menggalas jawatan pengarah teknikal pasukan kebangsaan.

"Tahniah, kedua-duanya terbaik. Semoga Azizul menjadi idola dan jurulatih untuk pelapis basikal trek selepas ini dengan pengalaman yang begitu luas," kata Fauzian Sabri.

"Terima kasih untuk segalanya Datuk, rakyat Malaysia sangat berbangga dengan anda dan Shah. Harap Datuk menceburi bidang kejurulatihan supaya boleh hasilkan seorang lagi Azizul," ujar Shahrudin Zainal pula.

"Terbaik Datuk Azizul. Terbaik satu atlet kebanggaan untuk Malaysia. Bukan senang semua atlet nak ke temasya Sukan Olimpik. Terus berkhidmat untuk negara Datuk, team Malaysia perlukan pengalaman Dato sebagai tenaga jurulatih pula. Buat Shah. fight untill to the end," komen Ikhram Sulaiman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram