Pasti dirindui, bina badan antara 3 acara sukan 'tercicir' di temasya SUKMA Sarawak


  • Podium
  • Ahad, 04 Ogos 2024

SUKMA menyediakan platform bagi atlet muda untuk membuktikan kebolehan tersendiri di peringkat kebangsaan.

SUKAN Malaysia (SUKMA) merupakan platform terbaik untuk mana-mana atlet muda menampilkan kebolehan tersendiri sebelum mendedahkan diri ke pentas lebih besar.

Kejohanan yang menemukan pesaing dari negeri-negeri dalam Malaysia itu amat ditunggu-tunggu apabila orang ramai dapat menyaksikan bintang kian meningkat.

Jadi, tidak hairanlah penyokong mula menghitung hari menjelang temasya yang bakal berlangsung di Sarawak bermula pertengahan sehingga penghujung Ogos.

BACA LAGI: SUKMA 2024: Bintang kelab MPFL anggap tuan rumah, Pulau Pinang pencabar utama futsal Selangor

BACA LAGI: Simpati nasib atlet sofbol SUKMA, MSN Selangor tampil biayai kos pembedahan, pemulihan

1948410

Sarawak sudah bersedia untuk menganjurkan SUKMA tidak lama lagi.

Melihat kepada pertandingan kali ini, persiapan cukup hebat diadakan dengan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah melabelkannya sebagai yang terbesar dalam sejarah penganjuran.

Manakan tidak, Sarawak difahamkan bersedia untuk menerima lebih 12,000 atlet yang akan berkampung di sembilan bahagian sekitar negeri Borneo itu.

Bagaimanapun, lambakan peserta tidak menjanjikan beberapa acara dipertandingkan memandangkan timbulnya isu kekurangan penyertaan daripada kesemua 13 negeri.

Keputusan itu pastinya sedikit mengecewakan kerana sukan itu, terutamanya tiga acara ini memiliki sejarah dan peminat tersendiri dalam sejarah SUKMA.

1. Ekuestrian

Dalam beberapa penganjuran kebelakangan ini, SUKMA tidak lagi memilih untuk mengetengahkan acara ekuestrian yang merupakan sukan berkuda.

Berdasarkan maklumat terdahulu, kali terakhir acara itu dipertandingkan adalah pada 2013/14 di Kuala Lumpur dengan ia adalah kali ke-17 SUKMA diadakan.

sukma-8

Sukan ekuestrian tidak menerima sambutan seperti mana diharapkan.

Wilayah Persekutuan meraih pingat emas ketika itu dengan persembahan cukup baik ditonjolkan peserta untuk membantu tuan rumah berada di kedudukan ketiga dalam jadual kutipan pingat.

Sejak itu, acara ekuestrian tidak lagi dipertandingkan melihat kepada kesukaran orang ramai dalam memahami peraturan serta seni di sebalik sukan berkenaan.

Tetapi, sekiranya perkara sedemikian diteruskan, kemungkinan besar sukar bagi negara melahirkan lebih banyak ekuestrian yang semakin meraih perhatian di peringkat antarabangsa.

2. Kanu

Dalam sejarah SUKMA, sukan kanu merupakan 'lubuk' terbaik bagi kontinjen Johor untuk mengutip lebih banyak pingat emas sejak ia diperkenalkan pada 1992.

Malah, ketika negeri Selatan tanah air itu dijadualkan sebagai tuan rumah empat tahun lalu, mereka sudah mengetengahkan dua kategori dalam acara berkenaan.

1920299

Johor memiliki rekod tersendiri dalam acara sukan kanu pada SUKMA.

Bagaimanapun, bagi penganjuran kali ini, Sarawak tidak memilih sukan kanu bagi dipertandingkan dengan ia pasti membawa sedikit rasa kecewa buat Johor.

Manakan tidak, dalam SUKMA 2022, Johor mendominasi acara itu apabila memenangi lima emas dan satu perak untuk meletakkan mereka sebagai johan keseluruhan.

Tetapi, kekurangan itu tidak menjejaskan moral kontinjen negeri yang percaya kedudukan mereka tidak goyah dengan pelbagai acara lain bakal dipertandingkan.

3. Bina badan

Sukan bina badan juga boleh dianggap acara yang kurang kompetetif dalam negara memandangkan sukar bagi juri untuk memberi markah terhadap peserta.

Ia berkemungkinan salah satu sebab sukan itu tidak lagi dipertandingkan dalam temasya SUKMA dengan kali terakhir ia berada dalam senarai acara adalah pada SUKMA Kuala Lumpur pada 2013/14.

Chapter-445-Sukma-XVI-kategori-60-kg

Acara bina badan sering dipertandingkan dalam SUKMA satu ketika dahulu.

Pada saingan ketika itu, antara pemenang paling diingati adalah atlet yang mewakili Johor, Mohamad Na'im Ponggoh yang membawa pulang pingat emas dalam kategori bawah 60 kilogram.

Dia yang bercita-cita untuk bersaing dalam Mr Universe memiliki cita-cita besar, sekali gus membuka mata orang ramai terhadap sukan bina badan.

Tetapi, sehingga kini, sukan tersebut tidak lagi dipertandingkan secara kompetitif, termasuk dalam temasya SUKMA dengan pelbagai faktor mungkin menghalangnya daripada terus dikenali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram