PENGANJURAN Sukan Malaysia (SUKMA) merupakan platform terbaik buat mana-mana pemain muda yang berminat untuk membuktikan dirinya di pentas kebangsaan.
Meskipun tahu akan pengalaman pesaing bakal dihadapi, persembahan terbaik masih dipamerkan dalam misi atlet membawa pulang pingat demi negeri masing-masing.
Tetapi, lebih menarik lagi, temasya tersebut turut mengumpulkan peserta yang masih berada di bangku persekolahan, namun kebolehan dimiliki bintang muda itu sudah cukup matang dan meyakinkan.
BACA LAGI: SUKMA 2024: Hilang bintang muda tidak resahkan kem Selangor
BACA LAGI: SUKMA 2024: 'Silver to Gold', Perak sediakan insentif lumayan buat atlet
Denniel merupakan pemain termuda dalam skuad futsal SUKMA Selangor. — Instagram/sukmaselangorfutsal
Salah seorang daripadanya ialah Muhammad Denniel Haikal Jeffry yang baru sahaja berusia 17 tahun, namun sudah berada dalam pasukan futsal SUKMA Selangor.
Menurutnya, peluang diberikan ketua jurulatih, Qusmaini Noor Rusli selepas melihat bakatnya dalam satu aksi persahabatan bersama kelab Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) di bawah bimbingan pengendali itu.
"Saya dapat tembusi pasukan Selangor ini kerana saya pernah beraksi menentang Gombak TOT United dan yang membawa pasukan itu juga jurulatih kepada pasukan SUKMA Selangor dan dia memilih saya untuk ke dalam SUKMA Selangor," katanya kepada Majoriti.
Pasukan tersebut dijangka dapat menamatkan penantian untuk meraih pingat dengan lambakan pemain dimiliki, seperti Syahir Iqbal Khan yang beraksi di Selangor FC dan pivot Shah Alam City, Zulkifli Abu Hassan Zali.
Bagaimanapun, cabaran besar masih perlu dihadapi skuad SUKMA Selangor yang bakal berdepan Pahang, Johor, Perak dan tuan rumah, Sarawak di peringkat kumpulan.
Denniel (bawah, tengah) terus terlibat dalam sesi latihan bersama pasukan futsal Selangor. — Instagram/sukmaselangorfutsal
Tetapi, melihat kepada persiapan kira-kira dua minggu sudah dilakukan, pasukan bimbingan Qusmaini itu sudah tentu dapat menamatkan penantian tersebut.
Dalam pada itu, Denniel yang beraksi di posisi ala itu juga tidak gusar akan cabaran diberikan pemain lain, baik dari dalam pasukan mahupun lawan yang akan dihadapinya.
"Bagi saya, sebenarnya, memang agak sukar sedikit tetapi saya yakin boleh bersaing dalam pasukan. Selain itu, untuk berdepan lawan lain, saya kurang gementar kerana saya sudah berlatih dengan skuad MPFL dan bagai saya, mereka tidak mempunyai perbezaan ketara.
Malah, pemain yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 8, Subang Jaya, Selangor tersebut kelihatan yakin apabila dia percaya skuad futsal Selangor mampu meraih pingat emas.
Pasukan tersebut bakal berlepas ke Sarawak pada Ahad sebelum memulakan saingan pada 13 Ogos menentang Johor dalam aksi dijadualkan di Stadium Tertutup Kota Samarahan, Samarahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram