SEORANG wanita warga emas maut ditikam di kepala dengan gunting selepas dipercayai cuba meleraikan pergaduhan antara dua beranak dalam kejadian di sebuah rumah di Pekan Darat, Butterworth, Pulau Pinang pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 80-an dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia.
Difahamkan, mangsa ketika itu berada di rumah berkenaan bersama suspek lelaki yang juga anak saudaranya berusia lingkungan 40-an dan ibu suspek berusia sekitar 70-an.
BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk gempar jumpa mayat wanita terapung di tasik Taman Rekreasi Perigi 7 Serendah
BACA LAGI: Mayat Cikgu Istiqomah masih di forensik Hospital Melaka, beberapa anggota badan belum ditemukan
Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dipercayai ada masalah mental (kanan). — Facebook/Kulimmediatv
"Berlaku pertengkaran antara suspek dan ibunya yang mangsa kemudian cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.
"Namun, suspek yang tidak berpuas hati apabila mangsa cuba mencampuri urusan dia dan ibunya bertindak mengambil sebilah gunting yang diletakkan atas meja lalu menikam bahagian kiri kepala mangsa.
"Mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia. Ibu suspek juga cedera dalam insiden itu dan dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Jelasnya, sejurus kejadian itu suspek dikatakan mengamuk apabila memecahkan cermin rumah saudaranya sebelum orang ramai menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Suspek dilaporkan sempat melarikan diri dengan menunggang motosikal namun dia berjaya ditahan polis tidak jauh dari kediamannya.
Difahamkan, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dipercayai ada masalah mental.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan berhubung kejadian berkenaan namun maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram