Mayat Cikgu Istiqomah masih di forensik Hospital Melaka, beberapa anggota badan belum ditemukan


  • 112
  • Selasa, 13 Ogos 2024

Suspek kes bunuh Istiqomah direman sehingga 19 Ogos ini. — Gambar fail

MAYAT Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dibunuh masih berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka (HM) kerana siasatan kes tersebut masih berjalan termasuk bagi mengesan beberapa bahagian anggota badan mangsa yang hilang.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mayat mangsa belum boleh dituntut keluarganya biarpun proses bedah siasat selesai dijalankan pakar forensik HM.

Sebelum ini, ahli keluarga Allahyarham Istiqomah memaklumkan mahu membawa pulang jenazah mangsa ke Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.

BACA LAGI: 'Semoga syurga buatmu', Cikgu Istiqomah tak pernah 'miss' infaq beri anak yatim makan setiap bulan

BACA LAGI: Datuk antara 55 ditahan terlibat sindiket proses sisa elektronik haram

Cikgu

Mangsa bunuh, Istiqomah Ahmad Rozi. — Gambar fail

"Mayat mangsa belum dituntut lagi, sebab siasatan masih belum selesai, masih ada anggota badan mangsa yang hilang," katanya.

Bagaimanapun, Ashari enggan memperincikan bahagian badan yang sedang dikesan bagi mengelak ia mengganggu siasatan kes itu.

Sementara itu, suami mangsa, Mohd Yusof Mokhtar,35, turut mengesahkan setakat pukul 2 petang, pihaknya tidak dihubungi polis bagi proses menuntut mayat isterinya.

"Mungkin polis mahu melengkapkan anggota badan arwah isteri saya, sebelum menyerahkan jenazahnya untuk urusan pengebumian," katanya.

Istiqomah dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 26 Disember 2023, sebelum keesokan harinya, keretanya ditemui di parkir sebuah pasar raya dekat Kota Masai, berhampiran rumahnya.

Pada 31 Disember 2023, satu mayat tanpa kepala ditemui dalam tong sampah di longkang tepi Jalan Alor-Gajah-Tampin, berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka, namun identiti mayat tidak dapat dikenal pasti ketika itu.

Ashari pada Selasa mengesahkan bahawa hasil siasatan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan, mayat tanpa kepala itu adalah milik Istiqomah.

Susulan itu, polis menahan pasangan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak, pada 5 Ogos lalu dan direman enam hari sehingga Isnin, sebelum reman ke atas suspek lelaki disambung tujuh hari lagi hingga Sabtu bagi melengkapkan siasatan.

Manakala, isterinya dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada kaitan dengan kes. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram