Datuk antara 55 ditahan terlibat sindiket proses sisa elektronik haram


  • 112
  • Selasa, 13 Ogos 2024

Muhammad Hasbullah menunjukkan gambar serbuan dan rampasan Op e-waste di beberapa negeri. — The Star

SEORANG individu bergelar Datuk antara 55 individu yang ditahan dengan tindakan sitaan bernilai RM43.19 juta hasil serbuan ke atas sindiket memproses sisa elektronik (e-waste) haram pada 5 Ogos lalu.

Serbuan dilaksanakan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas tujuh kilang e-waste.

Ketua AMLA Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, tangkapan Op e-Waste tersebut membabitkan 10 warga tempatan dan 45 warga asing berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.

BACA LAGI: Kenaikan gaji, struktur elaun antara pengumuman penting PM berkaitan SSPA pada Jumaat

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk gempar jumpa mayat wanita terapung di tasik Taman Rekreasi Perigi 7 Serendah

IGP secretariat's Anti-Money Laundering (AMLA) division head Comm Datuk Muhammad Hasbullah Ali during a press conference in Kuala Lumpur on Tuesday. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Ketua AMLA Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali. — The Star

Katanya, warga tempatan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik tanah, penyelaras serta koordinator yang mengambil untung atas sewaan premis kilang dengan nilai puluhan ribu ringgit.

Lokasi serbuan termasuklah Salong, Pekan dan Bukit Ibam di Pahang; Kuang, Rawang dan Bukit Tagar di Selangor; Rembau dan Gemencheh, Negeri Sembilan serta Simpang Renggam, Johor.

"Warga asing yang ditahan pula memainkan peranan membawa teknologi dan bahan kimia dari luar untuk pemprosesan e-waste selain juruteknik.

"Operasi fasa pertama ini mengesan kilang-kilang ini telah beroperasi sejak 2023 dengan mendapatkan bahan e-waste dari sebuah negara di Asia," katanya pada sidang media pada Selasa.

Beliau berkata, e-waste tersebut diproses menjadi jongkong dan blok logam dengan nilai mencecah RM70,000 satu unit sebelum diseludup semula ke negara luar.

IGP secretariat's Anti-Money Laundering (AMLA) division head Comm Datuk Muhammad Hasbullah Ali during a press conference in Kuala Lumpur on Tuesday. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Antara jongkong logam e-waste yang dirampas menerusi operasi di beberapa negeri. — The Star

Tambah Muhammed Hasbullah, kilang tanpa lesen dan tidak berdaftar yang mengaut untung jutaan ringgit itu juga dikesan menggajikan warga asing sebagai pekerja.

"AMLA telah menyita dan merampas pelbagai aset seperti palet, blok logam e-waste, kenderaan, jentera dan kilang bernilai RM43.19 juta.

"Tanah yang diguna sebagai tapak kilang juga telah dibekukan dan nilainya masih dalam penilaian," ujarnya.

Muhammed Hasbullah berkata, AMLA akan melihat isu e-waste itu secara menyeluruh termasuklah siapa dalang di sebaliknya, bagaimana ia dibawa masuk dan modus operandinya.

"Apa yang dikesan kilang-kilang haram ini beroperasi di kawasan ladang kelapa sawit dan hutan jauh daripada laluan utama.

"Proses pembakaran atau peleburan dipercayai dilakukan waktu malam bagi melindungi aktiviti haram itu daripada dikesan.

"Berdasarkan kes sebelum ini, serbuan pernah dibuat pihak berkuasa namun kilang ini boleh kembali beroperasi dan kita lihat seperti ada yang tidak betul. AMLA akan pastikan kilang dan rangkaiannya ini diambil tindakan habis-habisan," katanya.

Menurutnya, suspek tempatan direman antara lima hingga tujuh hari, manakala warga asing selama 14 hari. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram