[VIDEO] Hidup mati saya untuk sukan ini, perlu masa sebelum fikir bersara — Azizulhasni


  • Podium
  • Selasa, 13 Ogos 2024

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebak apabila gagal menyumbang pingat buat Malaysia.

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang masih belum menerima sepenuhnya keadaan yang menimpa diri dalam Olimpik Paris 2024, selepas meletakkan keutamaan nombor satu terhadap sukan keirin.

"Hidup mati saya untuk sukan ni, bahkan dalam situasi tertentu keluarga saya letak nombor dua.

"Saya letakkan keluarga saya nombor dua, apa-apa pun sukan dulu. Saya fikirkan Olimpik, jadi untuk masa depan saya tak tahu nak cakap lagi," katanya kepada wartawan tanah air, Fina Nasrom ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sahaja mendebarkan, 3 momen 'aneh' menimpa atlet Olimpik Paris 2024

BACA LAGI: Azizul hilang kelayakan akibat kesalahan teknikal, Shah Firdaus kini harapan emas Malaysia

Begitupun, Azizuhasni atau lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu bagaimanapun memerlukan masa untuk berbincang dengan keluarga sama ada mahu meneruskan keputusan bersara atau sebaliknya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan bahawa pihaknya akan memberi masa kepada Azizulhasni untuk membuat keputusan sekiranya masih berhasrat untuk menyertai Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

"Saya telah berbincang dengan Azizulhasni untuk meminta dia mengambil masa mengadakan perbincangan dengan keluarganya dan kita akan menyokong keputusannya nanti.

"Selagi Azizulhasni masih mahu bersaing kita akan memberi sokongan," katanya.

Terdahulu, Azizulhasni dikeluarkan daripada perlumbaan heat 1 selepas melakukan kesalahan teknikal apabila beliau melepasi pacer lebih awal.

Azizulhasni berada di heat 1 bersama dua finalis edisi lalu, Matthew Glaetzer dan Jair Tjon En Fa selain Ota Kaiya, Rayan Helal serta Jeffrey Hoogland.

Sepanjang lima penampilan di temasya Olimpik, Azizulhasni atau mesra dengan sapaan Jijoe itu telah menyumbang satu pingat perak dan pingat gangsa buat kontinjen negara dalam acara keirin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram