Kembali lepas 97 hari, 10 minit Faisal Halim lagi mantap dari import Jordan Selangor


  • Podium
  • Ahad, 11 Ogos 2024

Faisal ketika beraksi kali pertama selepas 97 hari berjuang dari kesakitan dialaminya akibat insiden serangan asid yang menimpanya pada Mei lalu. — Facebook/SelangorFC

PENYERANG sayap Selangor FC, Faisal Halim akhirnya dapat kembali beraksi di atas padang buat kali pertama pada aksi Liga Super 2024 menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dekat Kelana Jaya, Selangor pada Sabtu.

Terpancar wajah ceria penyokong Gergasi Merah apabila tonggak utama itu akhirnya kembali membantu Selangor selepas berjuang dari kesakitan dialaminya akibat insiden serangan asid yang menimpanya pada 97 hari lalu.

Perlawanan pertama pemain berusia 26 tahun itu bertambah manis apabila skuad Gergasi Merah berhasil membawa pulang tiga mata hasil kemenangan 2-0 yang disumbangkan oleh Ronnie Fernandez pada minit ke-66 dan penghujung babak kedua.

BACA LAGI: Lepas 97 hari 'welcome back Faisal Halim', Ronnie bangkit sumbat 2 gol buat Selangor FC

BACA LAGI: Pernah luah hasrat jadi 'head coach', Ramon Marcote mula cari kerja di LinkedIn

Kemunculan kembali pemain kebangsaan itu bersama skuad kendalian Nidzam Jamil jelas memberikan impak di bahagian serangan apabila Faisal hampir mencetak gol pertamanya pada musim ini namun tandukannya terkena palang.

Walaupun hanya beraksi selama 10 minit, ramai penyokong bersetuju bahawa Faisal yang mengenakan topeng hitam pada perlawanan berkenaan bagi menggantikan bintang import dari Jordan, Reziq Banihani jauh lebih berkesan dari pemain lain.

Bahkan, ada juga penyokong berpendapat 10 minit Faisal jauh lebih berkesan di bahagian serangan jika dibandingkan dengan Reziq yang bermain selama 85 minit tetapi hanya memberi satu hantaran dalam perlawanan berkenaan.

"Hampir-hampir Mickey (Faisal) buat kemunculan semula bersama gol. Belum rezeki. Tapi impak Faisal dalam padang 10 minit, jauh lebih baik daripada Reziq yang bermain 85 minit," kata penyokong Gergasi Merah, Rdh8tv.

"Faisal memang seorang pejuang. Sikit lagi nak buat satu hantaran dan satu gol tadi (Sabtu). Selepas lima bulan kejadian tragis berkenaan, Faisal masih tunjukkan tiada yang mustahil. Pastinya dia akan bersinar semula," kata peminat Selangor, Jack-san.

"Faisal baru main, sikit lagi nak cetak satu gol dan satu hantaran bantuan," tambah seorang lagi penyokong Gergasi Merah, Wafiyy.

Dalam pada itu, Faisal dalam satu temu bual bersama media tempatan berkongsi bahawa ia saat-saat paling dinantikan olehnya setelah sekian lama berehat akibat kecederaan melecur tahap empat yang dialaminya.

"Alhamdulillah walaupun 10 minit agak bermakna buat saya dan pasukan. Saya perlu dapatkan semula kecergasan, namun menerusi semua data sebelum saya turun (ke padang) menunjukkan yang saya dah bersedia.

"Perasaan saya ada suka dan sedih sebenarnya, tapi ini saat yang ditunggu. Ini janji saya untuk pasukan kembali beraksi, alhamdulillah saya mahukan lebih lagi,” katanya memetik laporan Bernama.

Untuk rekod, pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram