Tak adil samakan pencapaian Pan-gon dengan Cheng Hoe


  • Podium
  • Rabu, 17 Jul 2024

Penyokong tanah air menganggap bahawa pencapaian Kim Pan-gon sepanjang membimbing Harimau Malaya tidak jauh beza dengan Tan Cheng Hoe.

BARU-BARU ini, industri bola sepak tanah air dikejutkan dengan peletakan jawatan Pan-gon sebagai pengendali skuad Harimau Malaya selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan negara.

Di bawah kendalian Pan-gon, Malaysia berjaya akhiri kemarau 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia.

Kemenangan paling dramatik ketika Harimau Malaya bangkit dari ketinggalan 1-3 untuk mengatasi pasukan ranking ke-97 dunia, Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November lalu.

BACA LAGI: Jurulatih 'fresh' dari 3 benua antara cadangan TMJ gantikan Kim Pan-gon

BACA LAGI: ‘Satu kerugian besar’, lepas Faisal Halim, Paulo Josue dan bintang Pahang merasai pemergian Kim Pan-gon

WhatsApp Image 2024-07-17 at 19.57.25

Pan-gon secara rasmi mengundur diri daripada jawatannya sebagai pengendali Harimau Malaya. Facebook/FAM

Sepanjang membimbing Harimau Malaya, Pan-gon merekodkan 20 kemenangan dalam 34 aksi antarabangsa.

Bukan itu sahaja, Malaysia menghuni ranking ke-154 dunia ketika Pan Gon mula mengambil alih pasukan pada Januari 2022 dan Harimau Malaya ketika ini berada di kedudukan 137 dunia.

Bagaimanapun, terdapat juga suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa pencapaian yang diraih oleh Pan-gon lebih kurang dengan Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe sebelum ini pernah menggalas tugas sebagai pengendali Harimau Malaya bagi musim 2017 hingga 2021 dan merekodkan 52.5 peratus kemenangan sepanjang lebih lima tahun bersama Harimau Malaya.

Antara kemenangan yang paling diingati penyokong sudah tentu ketika pasukan kebangsaan menewaskan seteru serumpun, Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia pada 5 September 2019.

HM

Dengan peletakan jawatan tersebut, aksi terakhir Pan-gon mengendalikan Harimau Malaya adalah ketika berdepan Taiwan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai 'perbandingan' tersebut, legenda bola sepak kebangsaan, See Kim Seng berpendapat bahawa kedua-dua pengendali itu memiliki kelebihan masing-masing.

"Pendapat saya, prestasi mereka lebih kurang sama. Tapi kalau mengikut pengalaman, of course lah Kim Pan-gon, dia mempunyai pengalaman lebih baik.

"Tapi untuk mengenali pemain lokal yang kita ada, saya rasa Tan Cheng Hoe lah," katanya kepada Majoriti.

Kim Seng turut berpendapat bahawa Malaysia mempunyai perubahan semenjak pengendali kelahiran Korea Selatan itu mengambil alih membimbing Harimau Malaya.

Malah, Kim Seng turut menyangkal tanggapan yang dinyatakan oleh penyokong tanah air kerana membandingkan pencapaiannya dengan Cheng Hoe.

"Pendapat saya, bila Pan-gon take over sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya nampaklah ada perubahan sikit.

"Tapi, masa tak cukup untuk dia buktikan mampu buat yang lebih baik.

"Bukan benda senang nak naikan taraf Malaysia hanya dengan tempoh dua tahun. Saya rasa tak mungkin orang lain boleh buat macam Pan-gon, semua benda nak kena ambil masa," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram