MULA timbul persoalan adakah penyokong Selangor FC sudah selesa dengan prestasi semasa Gergasi Merah?
Ini kerana suasana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ketika perlawanan Selangor dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada Sabtu (10 Ogos) tidak mendapat sambutan seperti biasa.
Beberapa faktor mungkin menjadi penyebab stadium keramat Selangor itu tidak 'full house' seperti perlawanan sebelum-sebelumnya.
BACA LAGI: [VIDEO] DNA samba paling menjadi sepanjang musim Liga Super setakat ini
BACA LAGI: Pernah luah hasrat jadi 'head coach', Ramon Marcote mula cari kerja di LinkedIn
Tempat duduk penyokong pelawat yang kosong pula diisi oleh pegawai polis bertugas yang menjaga keselamatan di stadium
Namun begitu, corak permainan Selangor tidak terkesan meskipun penyokong tidak membanjiri stadium seperti biasa.
Malah Selangor boleh dikatakan telah mendominasi keseluruhan permainan pada babak separuh masa pertama dengan beberapa 'set piece' berbahaya daripada anak-anak buah Nidzam Jamil.
Walaupun mendominasi permainan, barisan serangan yang diketuai oleh Ronnie Fernandez gagal meledak sebarang jaringan meskipun sudah 20 minit berlalu.
Gandingan Ronnie dan Reziq Bani Hani dalam kesebelasan utama Selangor juga masih belum berjaya menambat hati penyokong Selangor yang hadir ke stadium.
KDN FC yang turun dengan taktikal bertahan berjaya menghalang Selangor daripada menjaringkan sebarang jaringan.
Keputusan separuh masa pertama kekal dengan 0-0 buat kedua-dua pasukan.
Bersambung separuh masa kedua perlawanan, Selangor terus garang untuk mencari jaringan gol selepas melakukan segala asakan ke arah kubu pertahanan Kelantan.
Sehinggalah pada minit ke-65, pemain kegemaran ramai, Ronnie menjaringkan satu gol menarik menerusi sentuhan 'back heel' atas udara selepas menerima hantaran Reziq.
Selepas dibolosi, Kelantan mula melakukan beberapa pertukaran sekali gus tidak lagi bermain bertahan untuk mencari jaringan gol.
Pada minit ke-80, bintang bola sepak, Faisal Halim kembali membuat debut pertama kalinya selepas berehat panjang akibat kecederaan disimbah asid.
Sebelum Faisal masuk ke padang, Ronnie pula menambah duka Kelantan menerusi sepakan penalti pada minit ke-86 permainan.
Ia mengambil 97 hari buat Faisal kembali semula atas padang yang mana ketika pertukaran bintang itu bersama Reziq mendapat sorakan menyeluruh daripada penyokong di stadium.
Tidak sampai lima minit beraksi di atas padang, Faisal hampir melakukan magis apabila tandukan bolanya terkena palang.
Aksi Faisal di atas padang pula tidak menunjukkan sebarang penurunan prestasi apabila masih mampu mengucar-ngacirkan pertahanan Kelantan.
Sebelum tamat perlawanan Safuwan Baharuddin memberikan lilitan kapten buat Faisal untuk mengetuai tiga mata Selangor dengan jaringan dua gol tanpa bolos.
Keputusan tamat dengan Selangor memenangi perlawanan hasil dua jaringan daripada Ronnie sekali gus menutup mulut segelintir penyokong yang mengkritik prestasinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram