Masih kekal badi Darul Makmur, Selangor gagal manfaat peluang kad merah Sri Pahang


  • Podium
  • Rabu, 31 Jul 2024

Alvin menjaringkan gol awal ketika berdepan Sri Pahang pada Rabu (31 Julai).

"A.., ale, ale, ale, ale Tok Gajah ku, a.. ale, ale, ale, ale Tok Gajah ku."

Itulah sorakan paling lantang kedengaran menyambut kemasukkan pasukan lawan, Selangor FC yang bertandang ke bumi Darul Makmur dalam aksi Liga Super minggu ke di Stadium Temerloh, Pahang pada Rabu (31 Julai).

Suara sorakan itu bukan datang daripada ultras mahupun sekumpulan penyokong, tetapi ia hadir melalui seorang wanita yang digelar mak cik petir dalam kalangan pemain ke-12 Sri Pahang.

BACA LAGI: Muda-muda lagi aura pemimpin sudah ada, Arif Aiman tak keseorangan galas tanggungjawab kapten

BACA LAGI: ‘JDT bukan tempat pemain dibangunkan dalam Malaysia’

Disebabkan sokongan yang diberikan oleh wanita itu, Sri Pahang berjaya bangkit menyamakan kedudukan di minit-minit akhir separuh masa pertama menerusi tampanan Stefano Brundo yang memanfaatkan kesilapan Khairul Azhan Khalid pada minit ke-43 permainan.

Namun sebelum jaringan itu berlaku, Sri Pahang terlebih dahulu dibolosi oleh Selangor hasil jaringan Alvin Fortes kurang daripada lima minit selepas perlawanan baru dimulai.

Perlawanan separuh masa pertama didominasi oleh Selangor namun percubaan tepat ke arah gawang dimenangi oleh skuad kendalian Fandi Ahmad.

Walaupun Sri Pahang mampu memberikan tentangan kepada Selangor, ia tetap tidak berjaya menarik perhatian penyokong untuk memenuhi stadium meskipun ia perlawanan yang boleh dilabelkan sebagai aksi pilihan minggu ini.

Keputusan separuh masa pertama, Sri Pahang 1-1 Selangor hasil jaringan Alvin dan Stefano.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang mahu bermula garang dengan beberapa serangan berjaya dibuat ke arah barisan pertahanan Gergasi Merah.

Namun serangan itu hanya bertahan 15 minit sebelum pemain import, Mykola Ahapov dilayangkan kad merah susulan terjahan keras ke atas Yohandry Orozco.

Melihat kebuntuan barisan Selangor, jurulatih Gergasi Merah membuat beberapa pertukaran namun idea itu dilihat tidak mendatangkan hasil.

Tempo permainan juga dilihat semakin menurun selepas kedua-dua pasukan hanya bermain di kawasan tengah dan gagal melakukan sebarang percubaan berbahaya.

Dengan keputusan seri kedua-dua pasukan ia sekali gus meneruskan badi Selangor di Darul Makmur selepas beberapa musim gagal mengutip tiga mata.

Dalam ruangan komen pula penyokong Selangor dilihat masih tidak berpuas hati dengan penyerang import, Ronnie Fernandez selepas gagal memberikan impak positif kepada pasukan.

"Harap Nidzam Jamil rehatkan dulu Ronnie, gantikan penyerang Reziq dalam kesebelasan utama, kami mahu bahagian serangan lebih tajam," kata Mohamad Azrin.

"Lawan 10 pemain pun tak boleh nak gol, come on Selangor," jelas Mohd Haizul Azhar.

"Alvin Fortes ini main seorang sahaja ke? Nizam kenapa taktikal nak kena bagi Fortes bola?" soal Assarizam Assa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram