'Selangor akan dominan lawan Sri Pahang, tak selesai masalah jika pecat Fandi Ahmad'


  • Podium
  • Selasa, 30 Jul 2024

Pahang sebelum ini hanya membawa pulang satu mata ketika terikat tanpa sebarang jaringan menentang Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

SRI Pahang FC dalam misi untuk bangkit daripada terus kehilangan mata selepas merekodkan keputusan seri ketika menentang Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan Liga Super pada Sabtu lalu (27 Julai).

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu berakhir tanpa sebarang jaringan.

Ia pastinya memberikan tekanan hebat buat pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad selepas hanya merekodkan satu kemenangan dalam enam perlawanan terakhir musim ini.

BACA LAGI: ‘JDT bukan tempat pemain dibangunkan dalam Malaysia’

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga penyerang Croatia 'harga' sama dengan Ivan Mamut boleh dipancing TFC

Berbeza dengan prestasi musim lalu, Sri Pahang berjaya menang tiga perlawanan dan seri dalam enam aksi awal kejohanan domestik sebelum menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima.

Jadi perlawanan pada Rabu (31 Julai) pastinya menjadi aksi sukar untuk Pahang apatah lagi bertemu Selangor FC yang sedang dalam momentum terbaik selepas mudah menundukkan Penang FC dengan empat gol.

Bekas jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim berpandangan ia sukar buat Pahang untuk bangkit selepas pelbagai masalah yang membelenggu kem Tok Gajah baru-baru ini.

"Pahang sebenarnya ada tangkis tapi dengan masalah dalaman sukar untuk mereka bangkit dan kekalahan di tangan Negeri Sembilan amat mengejutkan.

"Lain pula ceritanya dengan Selangor, walaupun kalah dengan Kuala Lumpur tapi mereka bangkit menewaskan Penang dengan jaringan besar.

"Jadi saya rasa Selangor mungkin mempunyai kelebihan dan akan dominan ketika berdepan Pahang nanti," katanya kepada Majoriti.

Tambah Irfan lagi, jikalau pihak pengurusan mengambil keputusan untuk memecat Fandi Ahmad ia tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah Pahang ketika ini.

"Untuk memecat Fandi (Ahmad) mungkin tidak mempunyai masalah kerana dalam barisan pengurusan ada Dollah (Salleh) untuk dilantik menjadi ketua jurulatih.

"Tetapi saya rasa nak buang Fandi itu tidak akan menyelesaikan masalah, jadi di sini masalah bukan daripada jurulatih mungkin berpunca daripada siri kecederaan yang berlaku dalam kem Sri Pahang.

"Bagaimanapun masalah dalaman pasukan harus diselesaikan kalau mahu skuad itu lebih stabil," jelasnya.

Untuk rekod musim lalu, Pahang pernah menewaskan Selangor di halaman sendiri dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Kevin Ingreso.

Menjadi persoalan, adakah Pahang berjaya mengulangi semula rekod cemerlang menewaskan Selangor di halaman sendiri pada Rabu?

Pahang kini menduduki tangga ke-10 Liga Super selepas hanya mengutip lima mata hasil daripada satu kemenangan, dua seri dan kekalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram