Sabah FC tiada mastermind, striker kena buat kerja — Matlan Marjan


  • Podium
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Sebahagian sesi latihan pasukan Sabah FC yang dilihat sudah bersedia untuk menghadapi cabaran skuad Tok Gajah bagi saingan Liga Super 2024 pada Jumaat. — Facebook/Sabahfc

LEGENDA Sabah, Matlan Marjan menaruh harapan agar skuad The Rhinos meraih keputusan positif menjelang aksi berdepan Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super 2024 pada Jumaat.

Meskipun tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur City FC aksi Liga Super 31 Julai lalu, Matlan berharap agar kekalahan tersebut tidak mengganggu fokus pemain.

Menurutnya, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu perlu bangkit semula untuk memperbaiki kedudukan dalam liga.

BACA LAGI: Bukan mudah saing JDT, bintang Kedah mahu lunas dendam Piala FA

BACA LAGI: Cools, Mat Yo boleh jadi 'par' bintang JDT berkelana di bumi Gajah Perang

Matlan Marjan

Matlan merupakan salah seorang penyerang terbaik pernah dimiliki skuad Sang Badak. — Agensi

"Pendapat saya, Sabah FC perlu bangkit lebih-lebih lagi akan bermain di laman lawan walaupun moral pemain agak menurun akibat masalah yang timbul dalam pasukan.

"Saya harap perlawanan dengan Pahang paling kurang pun seri. Kalau kalah saya rasa untuk Top 5 agak sukar kita capai dalam liga," katanya kepada Majoriti.

Matlan turut mengingatkan agar anak-anak buah Kim Swee tidak terlalu yakin dan memandang rendah keupayaan skuad kendalian Fandi Ahmad itu.

"Sabah ada peluang untuk menang tapi kalau Pahang dapat menjaring dahulu agak sukar untuk kita capai kemenangan.

"Dalam pasukan Pahang ada coach dan pengurusan yang baik. Fandi Ahmad merupakan kawan saya yang sentiasa ada formula untuk setiap pasukan yang dia lawan.

"Saya harap sangat kita dapat menyaksikan perlawanan yang seimbang nanti," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-08-09 at 12.24.11

Telmo Castanheira (kiri), Daniel Ting (tengah) dan Darren Lok (kanan) antara tonggak Sabah FC yang akan diberi kepercayaan sebagai kesebelasan utama pasukan dalam bertemu Sri Pahang. — Facebook/Sabahfc

Matlan turut berharap agar benteng terakhir The Rhinos diperbaiki agar tidak mudah dibolosi oleh pihak lawan.

Jika melihat kepada carta Liga Super, setakat enam perlawanan liga berlangsung, Sabah ketika ini sudah dibolos sembilan gol.

"Pasukan Sabah sekarang harus memperbaiki bahagian pertahanan kerana kita selalu bolos sejak akhir-akhir ini.

"Tiada mastermind yang dapat mengerakkan serangan dari bawah, kita harap saja supaya midfield dan striker bekerja," jelasnya.

Bukan itu sahaja, bekas penyerang kebangsaan itu turut berharap agar Sang Badak membuat perubahan dengan menghadirkan import baharu dalam pasukan tersebut.

"Saya harap ada import terbaik yang akan hadir dalam pasukan Sabah menjelang jendela perpindahan nanti," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram