[VIDEO] Main kasar jadi punca, 3 pemain kena kad merah di kejohanan MSS Johor


  • Tular
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Tangkap layar memaparkan pengadil perlawanan (jersi hijau) cuba menenangkan kedua-dua pasukan. — Facebook

AKSI final bola sepak Bawah 18 Tahun (B-18) Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Johor 2024 dicemari dengan insiden ganas.

Kejohanan yang berlangsung di SMK Mersing, Johor itu menyaksikan perlawanan akhir antara pasukan MSS Batu Pahat dan MSS Johor Bahru.

Aksi final yang disiarkan di laman Facebook Sinija itu mula menyaksikan insiden tolak-menolak di tengah padang melibatkan MSS Batu Pahat dan MSS Johor Bahru.

BACA LAGI: Sabah FC tiada mastermind, striker kena buat kerja — Matlan Marjan

BACA LAGI: Seri atau kalah sudah pasti, fans Tok Gajah enggan letak harapan tinggi aksi bertemu Sabah FC

Insiden tersebut tercetus sebaik sahaja MSS Batu Pahat menjaringkan gol kedua perlawanan sekali gus memastikan MSS Batu Pahat muncul juara dengan keputusan 2-1.

Berang dengan apa yang berlaku, penjaga gol MSS Johor Bahru bertindak menolak seorang pemain MSS Batu Pahat dengan kasar.

Tindakan itu menyebabkan pemain berkenaan bertindak balas sekali gus mencetuskan perbalahan antara pemain kedua-dua pasukan.

Insiden ganas tersebut memaksa pasukan pengadilan bekerja keras untuk menenangkan pemain kedua-dua pasukan.

WhatsApp Image 2024-08-09 at 16.03.54

Tangkap layar memaparkan insiden pergaduhan antara MSS Johor Bahru dan MSS Batu Pahat. — Facebook

Setelah keadaan kembali terkawal, pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada dua pemain MSS Johor Bahru, sementara seorang lagi pemain MSS Batu Pahat turut mengalami nasib sama.

Begitu pun, Kejohanan MSSJ 2024 yang berlangsung daripada 6 sehingga 8 Ogos ini melibatkan tiga kategori iaitu Bawah 12 tahun, Bawah 15 tahun dan Bawah 18 tahun sudah menamatkan tirainya.

Bagi kategori Bawah 12 tahun, MSSD Pasir Gudang muncul sebagai pemenang, sementara itu, MSSD Kulai menang bagi kategori Bawah 15 tahun dan MSSD Batu Pahat bergelar juara bagi kategori Bawah 18 tahun.

Untuk Bawah 12 tahun, penjaring terbanyak dimenangi oleh Muhammad Daryen dari MSSD Johor Bahru dengan empat gol dan berkongsi jumlah jaringan yang sama dengan Muhammad Syahfie daripada MSSD Kota Tinggi.

Bagi bawah 15 tahun dan 18 tahun pula penjaring terbanyak adalah Hilman Raiyan dan Muhammad Syaifullah daripada MSSD Johor Bahru. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram