[VIDEO] Bukan minum air cuci kaki ibu, ini kenyataan sebenar Rizki pemenang angkat berat emas Olimpik Paris 2024


  • Podium
  • Ahad, 11 Ogos 2024

Tangkap layar video temu bual bersama Rizky sebelum temasya Olimpik Paris 2024 yang menyaksikan atlet muda itu berkongsikan 'ritual' unik yang dilakukannya sewaktu latihan dan pertandingan.

DALAM temasya Olimpik Paris 2024, kontinjen Indonesia berjaya mengukir sejarah baharu selepas buat pertama kalinya membawa pulang pingat emas dalam acara angkat berat.

Kejayaan itu diperolehi menerusi atletnya, Rizki Juniansyah yang mengungguli acara angkat berat kategori 73 kilogram (kg)

Rizki berjaya melakukan angkatan 354 kg secara keseluruhan meliputi angkatan 'snatch' 155 kg dan 'clean and jerk' sebanyak 199 kg.

BACA LAGI: 'Ia bagaikan jodoh', niat asal cuma nak bayar PTPTN, bekas jaguh gimnas negara guna bakat buka bisnes

BACA LAGI: Sakit kulit dihidapi jadi ilham Sarah bina Cuura, muncul jenama produk kulit sensitif dipercayai pengguna

Tidak cukup hanya sekadar merangkul pingat emas, angkatan dibuat Rizki itu turut mencatat rekod Olimpik bagi 'clean and jerk' dengan angkatan 199 kg.

Susulan daripada kejayaan yang diperolehi itu, media tempatan turut mengorek kembali rahsia di sebalik kemenangan yang dicipta oleh atlet baru berusia 21 tahun.

Menerusi satu laporan, media melaporkan Rizki dikatakan mempunyai satu 'ritual' unik yang dilakukan sebelum pertandingan.

Berdasarkan berita tersebut, atlet muda itu dilaporkan berkata, sebelum pertandingan, dia akan antara lain melakukan amalan mencuci kaki ibunya dan kemudiannya meminum air basuhan kaki tersebut.

6179226095535111608

Rizki ketika beraksi di Olimpik Paris 2024. — Agensi

Perkara berkenaan dipercayai didedahkan dalam satu temu bual ketika dia berjaya layak ke Olimpik Paris 2024 semasa bertanding pada Kejuaraan Piala Dunia IWF 2024 di Thailand.

Susulan daripada itu, 'ritual' unik tersebut turut mendapat liputan media luar termasuk di Malaysia.

Pada masa sama, di Malaysia, berita mengenainya mendapat reaksi yang bercampur baur daripada warganet yang rata-ratanya menyifatkan ia sebagai agak pelik.

Malah situasi tersebut turut menimbulkan perbalahan antara rakyat Malaysia dan Indonesia.

Ekoran daripada itu, turut tular satu video temu bual bersama Rizki yang dipercayai menjadi sumber kepada berita berkenaan.

Bagaimanapun, berdasarkan video berkenaan, atlet itu didengar langsung tidak menyatakan dia meminum bekas air cucian daripada basuhan kaki ibunya.

6179226095535111612

Tidak cukup hanya sekadar merangkul pingat emas, angkatan dibuat Rizki itu turut mencatat rekod Olimpik bagi 'clean and jerk' dengan angkatan 199 kg. — Agensi

Sebaliknya, Rizki menerusi klip tersebut menjelaskan, dia akan menjalankan ritual mencium dan mencuci kaki ibunya setiap kali sebelum latihan dan bertanding.

"Ritual aku dan rutin aku sebelum latihan dan bertanding, aku selalu mencium dan mencuci kaki ibuku kerana memang itu memang satu keberkatan buat diriku di saat pertandingan. Memang ibuku itu yang terbaik buat diriku.

"Ini kerana ibuku sebelum ini dari kecil telah menyokong dan selalu mendoakanku di saat aku bertanding mahupun latihan," katanya.

Dalam video sama, Rizki pada waktu itu turut melahirkan harapannya untuk mendapatkan pingat terbaik buat Indonesia ketika Olimpik Paris 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram