BAGI peminat sukan gimnastik tanah air, Sarina Sundara Rajah, 42, bukan satu individu yang asing.
Sepanjang kariernya, bekas gimnas berirama wanita negara ini berjaya mengharumkan nama Malaysia di beberapa temasya sukan antarabangsa.
Antaranya menerusi pingat emas Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2001.
BACA LAGI: Tak perlu ada kelulusan jurutera, ini 2 kemahiran penting untuk ceburi bidang AI
BACA LAGI: 'Hutang ilmu bawa hingga mati', belajar bezakan antara ijazah dan hikmah
Sarina bagaimanapun kemudiannya berdepan satu detik hitam apabila terpaksa menamatkan karier semasa berada di puncak selepas mengalami kecederaan lutut.
Namun, tidak berpatah hati terhadap apa yang berlaku, dia seterusnya terus memulakan kehidupan di luar arena.
Sarina boleh dikatakan agak bernasib baik apabila menemui jalan untuk terus berbakti kepada sukan kesayangannya itu melalui bidang kejurulatihan.
“Saya mula melatih pada 2004 semasa sedang belajar. Dan saya dapati bahawa saya suka melatih dan memberikan bimbingan.
"Saya juga suka dengan kanak-kanak dan sukan ini, jadi ia bagaikan jodoh," kongsinya.
Tak dirancang
Bagaimanapun, bercerita kepada The Star, Sarina berkata, permulaannya di dalam bidang kejurulatihan tidaklah dirancang.
“Saya pergi mula melatih untuk mendapatkan wang. Saya terpaksa membayar balik pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) saya!” katanya.
Namun, apabila melihat kejayaan pelajarnya memenangi pertandingan disertai, dia mula menyedari bahawa bidang kejurulatihan boleh menjadi kerjaya baharu untuknya.
Tidak menoleh kebelakangan, Sarina yang pada awalnya hanya berkhidmat sebagai jurulatih sambilan mula mengorak langkah dengan menubuhkan Stargaze Sdn Bhd.
Syarikat itu memiliki dan mengendalikan Kelab Gimnastik Irama Sarina (SRGC) yang kini menjalankan pelbagai usaha pendidikan gimnastik serta inisiatif pengurusan acara dan bakat.
SRGC Seterus menunjukkan kemajuan kukuh selama bertahun-tahun hasil rangkaian, pengalaman dan pengetahuannya tentang sukan itu.
Pengambilan untuk kelasnya meningkat dan Sarina mula membina pengaruh di peringkat akar umbi termasuk di peringkat sekolah dan mendapat sokongan dalam kalangan ibu bapa pelajarnya.
Fasa getir
Namun, tidak semuanya berjalan lancar untuk syarikat terbabit.
SRGC turut pernah mengalami fasa getir ketika mereka menerima kemasukan dana modal teroka (VC).
Sarina pernah memenangi pingat emas Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2001.
Pada ketika itu, syarikat berkenaan sedang dalam pelan untuk mengembangkan lagi perniagaannya melalui pembukaan beberapa pusat latihan baru termasuk memulakan operasi di rantau ini.
Namun apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan dan Sarina menyedari bahawa pelan berkenaan berkemungkinan tidak sesuai dengan sifat perniagaan diusahakan SRGC.
“Kanak-kanak berada di sekolah pada hari Isnin hingga Jumaat. Mereka biasanya memilih kelas hujung minggu. Jadi tempat anda tidak akan digunakan pada hari bekerja.
"Dan itu akan menambah kos operasi yang sangat tinggi dan tidak perlu untuk kami,” katanya.
Selain itu, Sarina berkata, mengendalikan kelab gimnastik adalah sangat khusus, dan memerlukannya berada di lapangan dan mempunyai komunikasi rapat dengan ibu bapa.
Strategi baharu
Oleh itu, dia memutuskan bahawa pertumbuhan yang cuba dibina melalui kerjasama dengan VC bukanlah cara yang sesuai.
Perkara tersebut menjadi satu pengalaman yang cukup mahal untuknya.
Selepas satu setengah tahun, dia membeli balik sahamnya dan mula "kembali membina dari awal " selepas urus niaga itu dimuktamadkan pada 2019.
Pada waktu itu, SRGC mengendalikan dua pusat di Lembah Klang dan mengajar kira-kira 150 pelajar.
Selain itu, Sarina juga mengajar gimnastik di sekolah swasta dan antarabangsa.
SRGC pernah berjaya merekodkan pendapatan sebanyak RM600,000 pada 2018.
Di sebalik kegagalan proses pengembangan perniagaannya tu, Sarina masih optimis terhadap potensi wujud dalam bidang kejurulatihan gimnastik di dalam negara.
Pada masa sama, dia turut menyentuh mengenai peluang yang boleh dimanfaatkan syarikatnya dalam bidang e-sukan.
Ia khususnya dalam membangunkan program yang membolehkan kanak-kanak mengambil latihan tarian dan gimnastik secara sendiri.
Sarina (kanan) mula melatih sukan gimnastik sejak 2004.
“Ia akan menjadi seperti Wii Sports. Jadi kita boleh membuat program untuk, katakan, kanak-kanak berumur tiga tahun untuk mengikut kelas kita.
"Kita boleh lakukan rutin singkat pada skrin yang kanak-kanak perlu meniru. Kemudian pergerakan itu akan ditangkap, dan menggunakan kecerdasan buatan, ia akan memberitahu anda jumlah markah anda dan sama ada pergerakan anda adalah tepat.
“Ini boleh mencetuskan minat di kalangan kanak-kanak perempuan termasuk mereka yang suka menari.
"Gimnastik boleh menjadi sesuatu yang cukup sukar, jadi perkara e-sukan ini akan menjadikannya menyeronokkan. Ia satu permainan yang anda boleh bersaing dengan orang lain,” jelasnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Sarina turut mewujudkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Safe Sport Malaysia memberikan komitmen bagi mewujudkan komuniti sukan lebih selamat daripada salah laku fizikal, psikologi dan seksual.
Melalui pertubuhan tersebut, Sarina menjadi antara suara yang cukup lantang dalam memerangi budaya sukan tidak sihat termasuk amalan menormalkan penderaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram