SELURUH rakyat Malaysia kini berada di belakang jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas penyertaannya beraksi dalam acara keirin Sukan Olimpik 2024 pada Ahad dibatalkan akibat kesilapan teknikal.
Pada perlumbaan itu, Azizulhasni yang disandarkan harapan untuk membutirkan pingat emas pertama negara di Olimpik dalam acara kegemarannya itu dibatalkan penyertaan selepas beliau mendahului derny (pacer) atau penetap kelajuan.
Menurut kenyataan dikeluarkan di laman Instagram peribadinya, Azizulhasni menjelaskan bahawa terdapat perlanggaran daripada pelumba Perancis, Rayan Helal dan pacer yang bergerak terlalu perlahan menyebabkan kejadian teknikal tidak diingini itu berlaku.
BACA LAGI: Azizul hilang kelayakan akibat kesalahan teknikal, Shah Firdaus kini harapan emas Malaysia
BACA LAGI: Dihimpit teruk pelumba Perancis, Azizulhasni bagi 6 poin punca misi buru emas gagal
Namun, kejadian memotong pacer ini bukan kali pertama berlaku kerana situasi sama turut terjadi dalam dua temasya Sukan Olimpik iaitu Rio 2016 dan Tokyo 2020, yang mana turut melibatkan acara keirin.
Berdasarkan video final Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, kedudukan wakil dari Great Britain, Jason Kenny juga dilihat mendahului pacer sebelum ke barisan pusingan ketiga tetapi tiada sebarang reaksi diberikan oleh pihak pengadil.
Bahkan, Kenny juga membawa pulang pingat emas pada temasya berkenaan, manakala, Azizulhasni pula menghadiahkan pingat perak kepada negara dalam acara keirin lelaki di Velodrum Izu Tokyo, Jepun pada empat tahun lalu.
Selain Olimpik Tokyo 2020, Kenny juga pernah membuat hal pada saingan Olimpik 2016 apabila pelumba Britain itu memintas pacer sehingga menyebabkan dia hilang kelayakan untuk meneruskan pertandingan.
Kejadian lapan tahun lalu itu juga diimbau semula oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyaksikan kejadian sama namun mendapat layanan istimewa dari pihak tuan rumah ketika itu.
“Semasa perlawanan akhir Keirin lelaki di Rio 2016, terdapat dua permulaan batal. Yang pertama melibatkan Jason Kenny dan Azizulhasni. Yang kedua melibatkan Joachim Eilers (Jerman). Ketiga-tiga mereka dinilai telah mengatasi derny. Saya bersama dengan pengurus pasukan, Amarjit Singh, dan jurulatih, John Beasley.
“Ketiga-tiga negara merayu terhadap kehilangan kelayakan. Saya masih ingat memberitahu Amarjit, ‘Kami bernasib baik bukan Azizul seorang sahaja yang mengatasi derny dan seorang pelumba basikal Inggeris dan Jerman juga dinilai melakukan perkara yang sama. Pengadil tidak akan berani membatalkan kelayakan pelumba basikal dari negara Barat’.
“Sudah tentu, semua telah diberi amaran tetapi dibenarkan untuk memulakan perlawanan akhir. Kenny meraih emas dan Azizul meraih gangsa. Apa yang berlaku malam ini adalah satu kesilapan. Tetapi jelas menunjukkan bahawa amaran boleh diberikan dan bukannya kehilangan kelayakan secara terang-terangan,” katanya menerusi Insta Story pada Ahad.
Tangkap layar perkongsian dari Khairy berhubung kejadian di Olimpik Rio 2016.
Perkongsian dan Khairy dan kejadian di Olimpik Tokyo 2020 itu membuatkan penyokong sukan tanah air menyifatkan temasya tahun ini bersikap tidak adil kepada Azizulhasni, yang sepatutnya boleh mendapat peluang kedua.
Jurulatih, John Beasley dan pengurus pasukan, Izham Mohammad melakukan bantahan terhadap komisioner perlumbaan supaya semakan boleh dibuat menerusi video review namun begitu ia tidak dilayan dan Azizulhasni kekal dibatalkan penyertaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram