PENERJUN lelaki negara, Bertrand Rhodict tidak berjaya dalam misi memburu pingat selepas terkandas di pusingan awal 10 meter platform Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Bertanding menentang 25 lagi penerjun untuk merebut 18 tempat ke separuh akhir, persembahan Bertrand tidak menepati piawaian diperlukan untuk menewaskan peserta-peserta lain.
Bertrand bermula baik pada dua terjunan awal dengan dia meraih 66.00 mata dan 60.80 mata.
BACA LAGI: Dicabar untuk bangkit jadi tonik Dhabitah berjaya ke pusingan akhir
BACA LAGI: Terjunan terakhir bawa tuah, Nur Dhabitah mara ke aksi akhir 3 meter papan anjal
Namun begitu, prestasi mulai turun di terjunan ketiga apabila Bertrand mengutip 49.50 mata sebelum ia semakin menurun kepada 34.00 pada terjunan keempat.
Bertrand terus tidak berjaya untuk kembali mencabar apabila dia mengutip 37.80 mata pada terjunan kelima. Dia bagaimana pun menamatkan saingan dengan terjunan paling baik dengan memperoleh 65.60 mata pada percubaan terakhir.
Bertrand mengutip 313.70 mata keseluruhan dan menamatkan saingan di tempat kedua terakhir daripada 26 peserta.
Walaupun terkandas, tetapi acara terjun masih boleh menghasilkan pingat apabila Nur Dhabitah Sabri bakal bertarung dalam pusingan akhir acara 3 meter papan anjal.
Acara tersebut akan diadakan pada pukul 9 malam waktu Malaysia (3 petang waktu Paris). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram