KEJOHANAN jemputan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Pestabola Merdeka berdepan situasi sukar untuk menarik penyokong ke stadium akibat tindakan boikot.
Tindakan tersebut hadir menerusi gerakan ultras iaitu Ultras Malaya (UM) yang tidak mahu turun menyokong Harimau Malaya beraksi buat kali pertama dibawah kendalian jurulatih sementara, Pau Marti.
Gerakan ultras itu melancarkan kempen curva off dengan kesemua gerakan ultras di peringkat negeri yang bernaung bersama UM seperti Ultras Panthers (Penang FC), Kuala Lumpur Ultras (Kuala Lumpur City FC) dan North Borneo Ultras (Sabah FC) tidak akan turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Pestabola Merdeka 2024 mungkin sunyi, 3 Ultras negeri nekad boikot kejohanan FAM
BACA LAGI: Sekadar main 2 perlawanan, fans cadang Pestabola Merdeka buat format liga
Melihat kepada perkara tersebut, timbul kerisauan dalam kalangan penyokong. Siapakah yang bakal mengetuai sorakan buat Harimau Malaya di stadium?
Dengan ketiadaan UM, timbul cadangan agar gerakan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Boys of Straits (BOS) mengambil alih curva dan melakukan tugas mengetuai sorakan menyokong Malaysia.
"Kalau betul Ultras Malaya boikot perlawanan Pestabola Merdeka, harap sangat Tunku Mahkota Johor (TMJ) suruh je budak-budak BOS melaung di Bukit Jalil. Ampun tuanku," cadang akaun bernama JOHOR tetap JOHOR.
Cadangan tersebut bagaimana pun mungkin sukar untuk direalisasikan kerana BOS bukan sebahagian daripada UM. Oleh itu, berkemungkinan besar Bukit Jalil akan sunyi tanpa sorakan daripada ultras.
Sebelum ini, UM memilih untuk memboikot Pestabola Merdeka kerana kekecewaan mereka terhadap FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Menurut mereka, terlalu banyak perkara yang tidak baik berlaku dalam kancah bola sepak tempatan dan UM menganggap perubahan drastik perlu dilakukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram