Terjunan terakhir bawa tuah, Nur Dhabitah mara ke aksi akhir 3 meter papan anjal


  • Podium
  • Khamis, 08 Ogos 2024

Nur Dhabitah gembira selepas beraksi cemerlang dalam acara terjun di Sukan Olimpik 2024. — MOM

PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri berjaya untuk mara ke pusingan akhir kategori 3 meter (m) papan anjal Sukan Olimpik 2024 selepas menduduki kedudukan 12 terbaik.

Bermula baik terutamanya di terjunan pertama, namun begitu persembahan Dhabitah mengalami sedikit penurunan di terjunan ketiga dan itu tidak mengganggu laluannya untuk ke perlawanan akhir.

Mengumpul mata sebanyak 286.95, Dhabitah mara dengan menduduki kedudukan kelapan dengan aksi akhir akan diadakan pada Jumaat pukul 9 malam waktu Malaysia (3 petang waktu Paris).

BACA LAGI: Muncul semifinalis 3m papan anjal, Dhabitah perlu 330 mata jika mengidam gangsa Olimpik

BACA LAGI: Gandingan Pandelela-Dhabitah 'sailang' pasangan Korea untuk raih gangsa acara terjun

Pada terjunan pertama, Dhabitah bermula garang apabila meraih 67.50 mata sebelum mengalami sedikit penurunan pada terjunan kedua. Pada terjunan kedua, Dhabitah sekadar meraih 55.50 mata.

Kutipan mata Dhabitah semakin merudum apabila terjunan ketiga sekadar menghasilkan 46.50 dan itu meletakkan namanya di kedudukan terakhir untuk mara ke pusingan akhir.

Namun begitu, Dhabitah meningkatkan kualiti terjunannya dan berjaya meletakkan dirinya dalam kelompok 10 terbaik dengan meraih 57.00 mata.

454313319_906552931509875_7965107358331666242_n

Dhabitah akan terus memburu pingat di pusingan akhir. — MOM

Tempat Dhabitah di pusingan akhir terpateri apabila terjunan terakhirnya membawa tuah dengan percaturannya membuahkan hasil hingga berjaya meraih 60.45 mata.

Dhabitah berpeluang untuk menduduki kedudukan setinggi tangga keenam sebelum dipintas oleh wakil Afrika Selatan, Julia Vincent serta atlet Great Britain, Grace Reid yang menolaknya ke kedudukan kelapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram