Elak dikalahkan JDT sekali lagi, Kedah disaran 'parking bas' macam PDRM


  • Podium
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Pemain Kedah bakal berdepan JDT sekali lagi di SSI untuk tugasan Liga Super pada Jumaat. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

SELEPAS ditumpaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir Piala FA, tempoh masa 'bertenang' Kedah Darul Aman FC di selatan Malaysia masih belum berakhir.

Hal ini kerana, mereka masih berada di sana untuk berdepan JDT dalam saingan Liga Super pula dengan perlawanan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat.

Menentang lawan sama di gelanggang serupa dalam tugas berbeza. Boleh dikatakan yang Kedah berdepan cerita baharu menentang Harimau Selatan di laman mereka.

BACA LAGI: Bukan mudah saing JDT, bintang Kedah mahu lunas dendam Piala FA

BACA LAGI: Henti hukum pengadil, keluarga JDT kekal dengan mentaliti menang jumpa Kedah

Namun begitu, darjah kesukarannya masih serupa kerana JDT merupakan kelab yang sukar ditewaskan terutamanya ketika di laman sendiri.

Ini menjadikan Kedah perlu beraksi dengan bijak apabila berada di SSI dan itu menimbulkan saranan daripada penyokong mereka sendiri untuk Sang Kenari bermain seperti PDRM FC.

Sang Saka Biru menjadi kelab pertama musim ini yang berjaya mencuri mata daripada JDT dalam saingan liga apabila mengikat mereka 1-1 pada 31 Julai lalu.

Ini membangkitkan keinginan penyokong Kedah untuk Nafuzi Zain mengenakan corak yang sama. Bermain bertahan tidak mengapa, tapi biarlah ia memberikan hasil positif.

"(Main) parking bus je. Macam PDRM, sebab ni Liga Super, bukannya kalah mati," ujar penyokong bernama Haikal Neem.

"Ultra pulun parking bus," kata Kapten Leo pula.

"Harap perlawanan lepas ni ambillah pengajaran, janganlah beri alasan sama saja," komen Sara Araa yang mengharapkan Kedah semakin baik.

Tugas Kedah nyata sukar untuk mencipta kejutan seperti dilakukan PDRM terutamanya beraksi di gelanggang lawan.

Namun begitu, jika Nafuzi membuat percaturan yang mampu mengejutkan JDT, tidak mustahil mereka boleh membawa pulang mata dari SSI. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram