MENTERI Sumber Asli, Alam Sekitar dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad secara terbuka menawarkan diri untuk menjadi calon presiden untuk Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Dia yang juga merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa mendedahkan sudah berbincang dengan beberapa pihak seperti korporat, syarikat berkaitan kerajaan sebelum menawarkan diri sebagai calon.
Sebagai rekod, kongres KLFA akan diadakan pada 7 September dengan mereka akan melantik presiden baharu pada waktu tersebut.
BACA LAGI: Tiada obligasi untuk DBKL salur peruntukan kepada KLFA, KL City — Zaliha Mustafa
BACA LAGI: 'Selepas ini mesti ada,' orang kuat KLFA akui masalah kewangan KL City akan tarik perhatian MFL
Nik Nazmi yang merupakan penyokong skuad Warga Kota mengakui terkesan melihat nasib Kuala Lumpur City FC yang menjadi subjek kepada pelbagai masalah terutamanya melibatkan kewangan.
Malah, turut berdepan hukuman pemotongan enam mata, sekatan perpindahan serta denda sebanyak RM100,000 oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bakal menyukarkan lagi musim KL City.
Nik Nazmi (kiri) mahu menjadi Presiden KLFA yang baharu.
"Masalah yang dihadapi oleh KL City diperkatakan secara meluas oleh komuniti bola sepak Malaysia. Sebagai penyokong dan wakil rakyat, saya terkesan dengan perkara ini.
"Kami terima kelab menerima tindakan. Tapi kami berharap pertimbangan boleh diberikan potongan mata yang diusaha keras oleh pemain di padang.
"Walaupun bajet dipotong dan masalah luar padang, para pemain menunjukkan semangat yang hebat menerusi persembahan mereka dalam enam aksi pertama liga.
"Saya bertanggungjawab untuk membalas semula kepercayaan yang ditunjukkan pemain di kelab. Bola sepak di Kuala Lumpur berhak menerima sesuatu yang lebih baik," ujar Nik Nazmi.
Setakat ini, hanya Nik Nazmi secara terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden KLFA. Sementara bagi pemangku presiden iaitu Abdullah Sani Abdul Hamid tidak menyatakan apa-apa keputusan sama ada ingin mencabar kedudukan itu atau tidak. — The Star/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram