PERSEDIAAN menghadapi musim baharu buat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Chelsea diteruskan dengan mereka mendapatkan seorang lagi pemain baharu.
Skuad kendalian Enzo Maresca itu dilaporkan sudah berjaya membawa masuk pertahanan muda Argentina iaitu Aaron Anselmino dari Boca Juniors.
Dalam siaran yang dikeluarkan oleh Chelsea, The Blues mengikat Anselmino yang berusia 19 tahun dengan kontrak jangka panjang selama tujuh tahun.
BACA LAGI: Produk akademi Chelsea bakal tinggalkan kelab selepas 18 tahun, sedia sertai Atletico Madrid
BACA LAGI: Lepas Trent dikecam teruk, Southgate pilih bintang buangan Chelsea pula kemudi tengah England
Pemain pertahanan tengah itu dikatakan diikat oleh Chelsea dengan nilai perpindahan RM112 juta ($25 juta) yang merupakan nilai klausa perpindahan pemain tersebut di dalam kontraknya bersama Boca.
Walaupun kini bergelar pemain Chelsea, tetapi Anselmino kembali dipinjamkan kepada Boca selama semusim sehingga tamat saingan 2024/2025.
Anselmino menjadi pemain kesembilan yang dibawa masuk oleh Chelsea musim ini selepas mereka mengikat Kiernan Dewsbury-Hall, Renato Veiga, Omari Kellyman, Filip Jorgensen, Tosin Adarabioyo, Caleb Wiley, Estevao Willian dan Marc Guiu.
Namun begitu, mereka masih lagi berselera mendapatkan pemain baharu dengan Maresca dilihat mahu membawa penyerang Atletico Madrid, Samu Omorodion.
Bagi mengimbangi akaun kelab disebabkan pembelian pemain yang begitu ramai, Chelsea bersedia melepaskan beberapa pemain seperti Conor Gallagher, Lewis Hall, Ian Maatsen dan Omari Hutchinson. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
