MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil mempertahan dirinya selepas dikecam hebat warga maya kerana bergambar dengan pemain badminton Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Hannah menekankan semangat kesukanan yang disemai menerusi Sukan Olimpik dan perkara itu merupakan nadi utama kepada temasya tersebut.
Sebelum ini, Hannah dikritik hebat kerana tidak sensitif dan tidak patriotik kerana bergambar dengan Kunlavut yang menewaskan Lee Zii Jia pada acara perseorangan lelaki badminton Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
BACA LAGI: 'Sangat tak sensitif', tindakan Hannah Yeoh bergambar dengan atlet Thailand undang kritikan
BACA LAGI: [VIDEO] Gagal 'angkat' pingat emas, Hannah Yeoh anggap Aniq ikon sukan terbaharu negara
Menjawab kritikan-kritikan tersebut di laman Instagram miliknya, Hannah menegaskan tindakannya itu adalah sekadar meraikan pemenang tidak mengira warna pingat.
"Titik permulaan yang sangat asas. Semangat kesukanan adalah mengenai menerima kekalahan apabila semuanya sudah berlangsung dengan adil dan dapat mengiktiraf pesaing anda dengan cara yang terhormat.
"Saya bukan hanya sebagai Menteri Sukan. Saya juga Menteri Belia. Bukan semuanya berkisar mengenai kemenangan sahaja. Kita bukan kalah. Tidak ada yang tidak sensitif untuk mengakui kekuatan pihak lawan selepas pertandingan.
Hannah juga mengatakan yang dia turut memuat naik gambar bersama atlet negara yang lain sepanjang keberadaannya di Paris, Perancis.
Selain Kunvalut, Hannah juga pernah memuat naik gambar bersama jurulatih Jepun, Tan Kim Her yang merupakan rakyat Malaysia selepas dia membantu Nami Matsuyama-Chiharu Shida menewaskan gandingan Pearly Tan-M. Thinaah pada aksi separuh akhir beregu wanita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
