PELETAKAN jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin akhirnya diumumkan secara rasmi oleh pihak pengurusan tertinggi dengan mereka turut mengucapkan terima kasih sepanjang membangunkan pasukan itu selama tiga musim.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, Bobie Farid berjaya memikul tanggungjawab sebagai CEO interim dengan penuh ikhlas tanpa meminta sebarang gaji atau imbuhan.
Tambahnya, pihak pengurusan skuad The Bos Gaurus (TBG) memang mengakui bahawa mereka tidak mencapai hasil yang diingini namun pastinya setiap kelemahan itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
BACA LAGI: Ariesham beri satu lagi 'hint', Perak FC akan mengamuk musim depan
BACA LAGI: Bos Perak FC umum lepas jawatan, fans tak lupa memori manis
"Sebagai entiti swasta yang tidak pernah terlibat dalam bola sepak, kami di pihak pengurusan pastinya telah melakukan banyak kesilapan.
"Bagaimanapun, kami sentiasa percaya, setiap kelemahan ini mampu diperbaiki dan ini merupakan keluk pembelajaran untuk kami.
"Namun begitu, kami sedar betapa pentingnya sokongan peminat dan kami sedar sepenuhnya bahawa apa yang peminat mahukan adalah pasukan yang kompetitif dan mampu beraksi di tahap tertinggi," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, selaku pemegang saham dan pemilik kelab, beliau mengambil tanggungjawab dan berjanji untuk membaiki segala kelemahan bagi baki saingan liga musim ini.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah untuk memastikan Perak FC berada dalam keadaan terbaik tanpa terpalit dengan sebarang masalah selepas ini selain memaklumkan bahawa tiada perubahan dalam kelab itu.
"Keutamaan kami adalah memastikan kelab kekal stabil, Dengan itu, pihak pengurusan juga telah mengambil keputusan tiada lagi sebarang perubahan dalam struktur pentadbiran kelab.
"Fokus kami ketika ini adalah untuk memastikan Perak FC menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan terbaik serta berusaha untuk layak sejauh mungkin di Piala Malaysia nanti," tambahnya.
Terdahulu, Bobie Farid atau lebih dikenali sebagai Ariesham mengumumkan untuk melepaskan jawatannya dalam kelab tersebut.
Kenyataan itu dibuat menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa yang nyata mengundang kejutan ramai terutamanya peminat setia skuad Seladang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram