MALAYSIA terus menuai pingat di Sukan Asia Hangzhou selepas pasangan terjun, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri terus memberikan senyuman buat kontijen negara.
Pandelela dan Dhabitah merangkul pingat gangsa dalam pusingan akhir 10 meter platform seirama dengan mengutip 266.94 mata selepas lima terjunan.
Pasangan terjun negara ini menamatkan saingan di belakang pasangan China, Quan Hong Chan dan Chen Yu Xi yang merangkul emas. Sementara pasangan Jepun, Arai Matsuri dan Itahasi Minami memperoleh pingat perak.
Pada satu ketika, pasangan negara berada dalam kedudukan akan pulang dengan tangan kosong apabila penerjun Korea Selatan, Moon Na-yun dan Cho Eun-bi menduduki posisi ketiga.
Namun kesilapan pada terjunan terakhir oleh pasangan Korea Selatan itu digunakan sebaiknya oleh Pandelela dan Dhabitah untuk memastikan Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong dalam acara terjun.
Kesempatan itu diambil oleh Pandelela dan Dhabitah dengan mereka melakukan satu terjunan mantap pada pusingan akhir seperti dalam rakaman yang tersebar di Twitter (X).
Kejayaan China, Jepun dan Malaysia menduduki podium telah membuatkan Korea Selatan dan pasangan Macau iaitu Zhao Hang U serta Lo Ka Wai pulang hampa tanpa sebarang pingat.
Rekod pingat gangsa diperoleh Pandelela dan Dhabitah ini berjaya dikekalkan selepas Malaysia memperoleh pingat sama pada Sukan Asia Jakarta-Palembang pada 2018.
Ketika itu, Dhabitah bergandingan dengan seorang lagi penerjun iaitu Datuk Leong Mun Yee. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram