Kecewa ditunjukkan jalan keluar Piala FA, Manuel Ott mahu Sang Penyu bangkit di ibu kota


  • Podium
  • Khamis, 08 Ogos 2024

Manuel Ott terus menjadi watak utama skuad Sang Penyu selepas kembali menyertai pasukan itu pada jendela perpindahan lalu. — Facebook/Terengganu FC

KEKALAHAN 4-6 secara agregat dialami Terengganu FC kepada Selangor FC dalam saingan separuh akhir Piala FA menyaksikan cita-cita mereka untuk ke pentas akhir tidak kesampaian.

Meskipun memiliki kelebihan selepas meraih kemenangan di laman sendiri, keputusan yang tidak memihak dalam aksi timbal balik menyaksikan mereka terpaksa berputih mata.

Tak mustahil, untuk mengubati penyingkiran itu, skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner sudah tentu bercita-cita besar untuk bangkit dalam saingan Liga Super selepas ini.

BACA LAGI: Ofsaid Manuel Ott kecewakan Sang Penyu, Terengganu dan Penang kongsi mata

BACA LAGI: Isu teknikal VAR di Stadium Bandaraya mungkin punca gol Manuel Ott tidak disahkan

453969294_484955274245912_4432167256321888058_n

Skuad Sang Penyu jelas kecewa selepas disingkirkan Selangor FC. — Facebook/Terengganu FC

Peluang terbaik dimiliki Terengganu FC memandangkan mereka bakal berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan kemenangan ke atas kelab Lembah Klang itu akan mengukuhkan lagi kedudukan mereka di tangga ketiga liga.

Kebangkitan itu juga diharapkan pemain tengah Sang Penyu, Manuel Ott yang mengakui kekalahan kepada Selangor FC membakar semangat untuk bangkit dalam aksi menentang skuad Warga Kota.

"Sudah tentu kami mahu meraih tiga mata (ketika berdepan KL City). Namun, kita juga perlu melakukan penilaian terhadap persembahan kerana pemain sudah berikan yang terbaik.

"Saya tidak boleh pertikaikan apa yang sudah mereka berikan. Tetapi, seperti yang saya katakan, kami perlu bangkit dengan lebih bertenaga pada aksi akan datang," katanya kepada Majoriti.

Terengganu FC bakal berdepan KL City FC dalam aksi ketujuh mereka dalam saingan Liga Super 2024/25 di Stadium Cheras, KL pada Sabtu dalam misi meraih tiga mata penuh.

2166781

Pertembungan mendebarkan disaksikan ketika Sang Penyu berdepan KL City FC sebelum ini. Facebook/Terengganu FC

Pertembungan kedua-dua pasukan di venue tersebut musim lalu menyaksikan satu perlawanan epik disajikan apabila aksi itu tamat dengan keputusan seri 3-3.

Jadi, melihat kepada prestasi mereka beberapa minggu kebelakangan ini, sukar buat mana-mana pasukan diangkat sebagai pemenang meskipun kelebihan dimiliki skuad Warga Kota sebagai tuan rumah.

Ketika ditanya mengenai kekalahan dialami Terengganu FC kepada Selangor FC, Manuel Ott menegaskan perbincangan perlu dibuat bagi menilai kekurangan pasukan.

"Kami perlu melakukan penilaian semula selepas sesi latihan kembali berlangsung. Ini adalah satu kekalahan sukar ditelan kerana kami memulakan perlawanan dengan langkah kiri.

"Jadi, seperti saya katakan, kita perlu melakukan perbincangan secara dalaman dan lihat apa yang boleh kita perbaiki dan bergerak ke hadapan serta fokus bagi perlawanan selepas ini," katanya lagi.

Musim ini, pemain kebangsaan Filipina tersebut sudah merekodkan 10 penampilan secara keseluruhan buat skuad Sang Penyu dengan enam daripadanya diraih dalam saingan Liga Super.

Kehadirannya di bahagian tengah cukup penting kerana dia sering digandingkan dengan Marin Pilj, Nurillo Tukhtasinov atau mana-mana pemain lokal setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram