Isu teknikal VAR di Stadium Bandaraya mungkin punca gol Manuel Ott tidak disahkan


  • Podium
  • Isnin, 20 Mei 2024

Skuad Sang Penyu terpaksa berpuas hati dengan satu mata dicatatkan dalam perlawanan di tempat lawan itu. — Facebook/Terengganu FC

TUAN rumah, Penang FC dan Terengganu FC saling berbalas serangan dalam aksi Liga Super pada Ahad, namun tidak membuahkan hasil selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Meskipun gerakan mereka dalam mencipta peluang cukup menarik, ketumpulan jentera serangan acap kali mengecewakan penyokong yang bercita-cita menyaksikan tiga mata dibawa pulang.

Harapan itu pastinya amat dirasai peminat setia skuad Sang Penyu yang hadir ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang untuk melihat dua kemenangan berturut-turut direkodkan.

BACA LAGI: MFL sudah jangka, sedia cari jalan penyelesaian isu teknikal VAR

BACA LAGI: VAR bukan jawapan, 'layang saja kad merah' terhadap pengadil kontroversi — Pakar

436310466_438458028895637_5413463307661242479_n

Manuel Ott hampir menjadi wira buat skuad Sang Penyu dalam aksi itu. Facebook/Terengganu FC

Namun, peluang disia-siakan sepanjang 90 minit permainan sememangnya menghampakan dengan hanya keputusan seri dicatatkan dalam perlawanan berkenaan.

Tetapi, satu momen dalam aksi tersebut membuatkan penyokong Terengganu FC amat teruja selepas Manuel Ott berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Sikh Izhan Nazrel pada separuh masa pertama.

Bola muntah daripada sepakan percuma Safawi Rasid segera disambar pemain tengah skuad Sang Penyu itu untuk meletakkan pelawat di hadapan.

Bagaimanapun, penjaga garisan mendapati tonggak skuad kebangsaan Filipina itu berada dalam keadaan ofsaid terlebih dahulu, sekali gus membatalkan jaringan tersebut.

Situasi terbabit menyaksikan rata-rata penyokong kelab Pantai Timur berkenaan mendesak pengadil melakukan semakan menggunakan video bantuan pengadil (VAR) kerana ulang tayang menyaksikan Ott berada di kedudukan yang sah.

Jadi, dengan keputusan sudah dibuat, Terengganu FC hanya mampu menerimanya dan terus melakukan serangan, namun tidak berjaya merobohkan benteng skuad Harimau Kumbang.

2660427

Penggunaan teknologi VAR sekali lagi menimbulkan persoalan. Facebook/MFL

Tetapi, tindakan membatalkan jaringan itu masih sukar diterima hampir sehingga pengurus skuad Sang Penyu, Zul Fadzli Rozi tampil menyatakan situasi sebenar di sebalik tabir.

Dalam satu ciapan di akaun X peribadinya, dia menjelaskan bahawa teknologi pengadilan berkenaan tidak digunakan kerana timbulnya masalah teknikal.

"Ramai yang mesej untuk tanya kenapa tidak minta pengadil cek VAR untuk gol Manuel Ott. Sejujurnya, pada minit ke-20, pegawai perlawanan memaklumkan VAR untuk menyemak kedudukan ofsaid tidak dapat berfungsi malam ini (Ahad) kerana terdapat isu teknikal melibatkan padang Stadium Bandaraya," katanya.

Kegagalan untuk membuat semakan itu sudah tentu mengganggu rentak skuad Sang Penyu yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan satu kemenangan dan satu keputusan seri direkodkan setakat ini.

Sejak VAR diperkenalkan dalam arena bola sepak tempatan, teknologi berkenaan terus menerima kecaman selepas pengadil gagal memanfaatkannya sebaik mungkin.

Di samping itu, beberapa isu teknikal menyaksikan ia tidak dapat diaplikasikan dalam beberapa perlawanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keputusan untuk memasangnya.

Majoriti sedang menunggu respons Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram