[VIDEO] Sejak 2016, JDT sebenarnya banyak bolos gol penalti sebelum akhirnya julang piala di pentas final


  • Podium
  • Khamis, 08 Ogos 2024

JDT kekal mendominasi Liga Malaysia apabila setiap tahun menempah slot di pentas final.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi meneruskan dominasi mereka dalam Liga Malaysia apabila berjaya melangkah ke pentas akhir Piala FA selepas mudah menundukkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di peringkat separuh akhir dengan agregat 5-1 pada Ahad lalu.

Ini membuktikan bahawa JDT berada dalam kelas tersendiri apabila mara ke pentas akhir ketujuh Piala FA selepas memenangi empat perlawanan sejak direvolusikan semula pada 2013.

Malah JDT juga sukar dibolosi dalam setiap perlawanan akhir setiap kali Harimau Selatan menjulang trofi kejuaraan.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas 'offer' main tanpa gaji, Liridon kongsi gol mantap gandingan bersama legenda AC Milan

BACA LAGI: Istimewanya No.16, Syihan Azmi antara 3 bintang utama pakai nombor jersi keramat

Namun sejak 2016, JDT banyak bolos menerusi gol penalti lawan sebelum julang piala di pentas final.

Kali ini, Majoriti senaraikan tiga bintang yang menjaringkan penalti ketika bertemu JDT dalam perlawanan akhir Piala FA mahupun Piala Malaysia:

1. Gabriel Guerra (Piala FA 2016)

Sebelum menyertai JDT pada 2017, Gabriel Guerra terlebih dahulu telah merobek gawang gol Harimau Selatan semasa perlawanan akhir Piala FA 2016.

Ketika itu, Guerra yang mewakili PKNS FC berjaya mengejutkan seluruh Stadium Shah Alam dengan jaringan awal daripadanya menerusi sepakan penalti pada minit keenam.

Namun ia tidak kekal lama apabila selang 10 minit selepas itu Safiq Rahim pula menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum Jorge Pereyra Diaz menambah derita PKNS sebelum tamat separuh masa pertama.

Keputusan kekal 2-1 dengan JDT berjaya membawa pulang Piala FA buat pertama kalinya sejak Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih pasukan pada 2013.

2. Herlison Caion (Piala Malaysia 2022)

Seramai lebih 70,000 penyokong dikejutkan dengan jaringan awal Selangor ketika bertemu JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2022.

Ketika itu, Selangor berjaya mendapatkan jaringan selepas pertahanan JDT, Matthew Davies menjatuhkan Herlison Caion dalam kotak penalti sebelum tamat separuh masa pertama.

Caion menjaringkan gol penalti Selangor sebelum Bergson da Silva dan Fernando Forestieri bangkit membantu JDT untuk menjulang Piala Malaysia 2022.

Pemain berusia 33 tahun itu kini bergelar ejen bebas selepas kali terakhir beraksi di Liga Thailand bersama Chonburi FC.

3. Ivan Mamut (Piala Malaysia 2023)

Kelibat Ivan Mamut musim ini masih lagi belum boleh dilihat penyokong Terengganu FC selepas dia dilaporkan mengalami kecederaan pada awal musim ini.

Namun sumbangan terakhir Mamut bersama Sang Penyu apabila meledak gol penalti buat Terengganu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.

Mamut yang cuba membantu TFC menjuarai Piala Malaysia tidak kesampaian apabila hanya mampu menjaringkan satu gol penalti manakala JDT berjaya meledak tiga jaringan.

Bersama Terengganu, Mamut berjaya tampil dalam 35 perlawanan dengan 23 jaringan di kesemua kejohanan liga antarabangsa dan domestik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram